
Fenomena Lim You bukti kemahiran boleh dilatih
Only social or community posts, or a single source.
What happened
KEMUNCULAN penyerang muda negara, Lim You, dalam kejohanan Piala Srikandi Merdeka 2026 membuktikan bahawa Malaysia ada potensi besar dalam pembangunan bola sepak wanita. (Berita Harian, 09:58)
Read the reporting
1 report
Fenomena Lim You bukti kemahiran boleh dilatih
KEMUNCULAN penyerang muda negara, Lim You, dalam kejohanan Piala Srikandi Merdeka 2026 membuktikan bahawa Malaysia ada potensi besar dalam pembangunan bola sepak wanita.
Keupayaannya menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan, termasuk tujuh gol ketika menentang Arab Saudi, memperlihatkan potensi pemain muda yang dibangunkan menerusi latihan kemahiran sejak peringkat awal.
Fenomena Lim You membawa mesej penting kepada pembangunan sukan negara, iaitu kemahiran bola sepak bukan semata-mata bakat semula jadi, tetapi boleh dipelajari, dilatih dan dipertingkatkan melalui latihan sistematik sejak akar umbi.
Keupayaan menjaringkan gol, menghasilkan bantuan jaringan (assist), membaca permainan dan menguasai pergerakan fizikal boleh dibangunkan hasil latihan berulang, pengalaman pertandingan serta bimbingan jurulatih berkualiti.
Kejayaan awal Lim You menjadi petunjuk positif kepada potensi kecemerlangannya pada peringkat senior.
Namun, potensi itu perlu disokong dengan pembangunan berterusan agar pencapaian pada usia remaja dapat diterjemahkan kepada prestasi yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Dari perspektif sains sukan, pencapaian seorang penyerang tidak hanya bergantung pada kebolehan melakukan sepakan yang tepat.
Ia membabitkan gabungan kemahiran teknikal, kecerdasan taktikal, kecergasan fizikal dan kekuatan psikologi.
Keupayaan menjaringkan gol boleh ditingkatkan melalui latihan penyudah, ketepatan sepakan, pergerakan tanpa bola dan pemilihan kedudukan yang sesuai.
Begitu juga kemampuan menghasilkan assist memerlukan kemahiran hantaran, penglihatan permainan, keupayaan membaca pergerakan rakan sepasukan dan membuat keputusan dalam tempoh singkat.
Komponen fizikal seperti kelajuan, ketangkasan, kekuatan otot, keseimbangan dan daya tahan turut menentukan keberkesanan pemain ketika berhadapan dengan pertahanan lawan.
Semua komponen ini boleh dilatih secara progresif menggunakan prinsip latihan yang bersesuaian dengan umur dan tahap perkembangan pemain.
Penyelidikan longitudinal terhadap 238 pemain bola sepak wanita menunjukkan peningkatan prestasi fizikal, kemahiran dan keupayaan persepsi-kognitif mengikut peringkat perkembangan pemain.
Dapatan ini menyokong kepentingan pembangunan jangka panjang terancang.
Oleh itu, pencapaian Lim You wajar dilihat sebagai contoh potensi hasil pembangunan awal, bukan sekadar fenomena pemain berbakat.
Belajar daripada akademi bola sepak antarabangsa
Malaysia boleh mencontohi pendekatan pembangunan akademi antarabangsa seperti La Masia di Barcelona FC dan Girls' Emerging Talent Centres di England.
La Masia menekankan pembangunan kemahiran teknikal, kecerdasan taktikal, pendidikan dan sahsiah pemain, manakala model England memperluas peluang latihan berkualiti kepada pemain perempuan pada usia muda.
Jepun juga menyediakan contoh melalui Akademi Persatuan Bola Sepak Jepun yang menggabungkan pendidikan, latihan teknikal dan pembangunan fizikal secara bersepadu.
Kekuatan model itu bukan semata-mata kemudahan latihan moden, tetapi juga kesinambungan pembangunan pemain dari akar umbi hingga ke peringkat profesional.
Malaysia perlu menyesuaikan pendekatan ini melalui kerjasama dengan sekolah, akademi komuniti, persatuan bola sepak negeri, universiti dan kelab profesional.
Penulis mencadangkan model empat fasa yang menjadikan sains sukan sebagai komponen utama sepanjang proses pembangunan pemain. Cadangan model konseptual ini berasaskan pembangunan jangka panjang atlet
Rajah 1. Cadangan Model Pembangunan Bakat Bola Sepak Wanita Bersepadu.
Model ini ialah cadangan konseptual yang memerlukan penilaian dan pengesahan pelaksanaan, selain menekankan perkembangan kemahiran secara berperingkat.
Pada peringkat awal, latihan memberi tumpuan kepada penguasaan bola dan keseronokan bermain. Peringkat seterusnya meningkatkan kemahiran khusus, kecergasan dan kefahaman taktikal sebelum pemain menjalani latihan prestasi tinggi.
Penilaian tidak seharusnya berdasarkan umur kronologi semata-mata. Tahap kematangan biologi dan perkembangan individu juga perlu dipertimbangkan.
Sains sukan pemacu utama peningkatan prestasi
Sains sukan perlu menjadi asas kepada pembangunan pemain, bukan hanya diperkenalkan apabila atlet menyertai pasukan kebangsaan.
Melalui analisis prestasi sukan, jurulatih boleh menilai jumlah percubaan jaringan, ketepatan penyudah, kualiti assist, pergerakan tanpa bola dan keberkesanan tindakan pemain.
Analisis video membolehkan jurulatih mengenal pasti kelemahan teknikal dan menghasilkan program latihan individu yang lebih tepat.
Teknologi GPS juga membantu memantau jarak pergerakan, kelajuan, pecutan serta beban fizikal semasa latihan dan pertandingan. Data tersebut penting untuk meningkatkan kecekapan latihan dan pengurusan pemulihan.
Program 'strength and conditioning' perlu membangunkan kekuatan, kelajuan, ketangkasan dan daya tahan mengikut tahap kematangan pemain.
Bagi atlet wanita, latihan neuromuskular juga penting untuk menyokong kawalan pergerakan dan mengurangkan risiko kecederaan, khususnya kecederaan ligamen anterior lutut (ACL).
Pemakanan, psikologi sukan dan pemulihan
FIFA memperkenalkan Female Health and Performance Project pada 2026 untuk memperkukuh amalan pembangunan atlet wanita berasaskan bukti saintifik.
Bagaimanapun, sains sukan tidak semestinya memerlukan peralatan yang mahal.
Akademi akar umbi boleh memulakan analisis menggunakan rakaman telefon pintar, ujian kecergasan asas dan rekod perkembangan kemahiran.
Prinsip utamanya ialah menggunakan data untuk menambah baik latihan secara berterusan.
Peranan masyarakat melahirkan pemain berkualiti
Pembangunan bola sepak wanita memerlukan kerjasama daripada keluarga, sekolah, komuniti dan institusi sukan.
Ibu bapa menyediakan galakan dan sokongan, manakala guru Pendidikan Jasmani memainkan peranan mengenal pasti potensi pemain sejak peringkat sekolah.
Universiti pula boleh menyumbang kepakaran analisis prestasi, fisiologi senaman, psikologi sukan dan pendidikan kejurulatihan.
Persatuan bola sepak serta sektor swasta perlu menyediakan kemudahan dan pertandingan yang konsisten supaya pemain perempuan mempunyai peluang berkembang.
Tanpa sokongan ekosistem ini, bakat muda berisiko terhenti sebelum mencapai potensi sebenar.
Fenomena Lim You memberi keyakinan bahawa pemain wanita Malaysia berupaya menguasai kemahiran bola sepak berkualiti melalui latihan sistematik.
Kejayaan awal menjadi indikator positif kepada kemungkinan kecemerlangan pada peringkat senior.
Namun, perkembangan itu memerlukan latihan berterusan, persekitaran pertandingan kompetitif, pengurusan kecederaan dan sokongan psikososial.
Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada kemunculan bakat luar biasa secara kebetulan.
Kita perlu membina sistem yang mampu menghasilkan pemain yang mahir menjaringkan gol, mencipta peluang, memiliki kecergasan tinggi serta membuat keputusan taktikal secara berkesan.
Lim You mungkin menjadi inspirasi kepada generasi baharu.
Namun, kekuatan sebenar bola sepak wanita Malaysia pada masa hadapan akan ditentukan oleh keberkesanan pembangunan akar umbi yang disokong oleh sains sukan secara menyeluruh.
Bakat membuka peluang, latihan sistematik membangunkan kemahiran, dan sains sukan membantu menterjemahkan potensi kepada kecemerlangan prestasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Berita Harian) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsBerita Harian09:58
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Berita Harian
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.