
Baju Melayu: Warisan yang saya sarungkan
Only social or community posts, or a single source.
What happened
PERNAH suatu ketika, apabila saya memakai baju kurung yang dipadankan dengan kain batik sarung, seseorang bertanya, “Mengapa berpakaian seperti pembantu rumah?” (Utusan Malaysia, 08:00)
Read the reporting
1 report
Baju Melayu: Warisan yang saya sarungkan
PERNAH suatu ketika, apabila saya memakai baju kurung yang dipadankan dengan kain batik sarung, seseorang bertanya, “Mengapa berpakaian seperti pembantu rumah?”
Saya teringat akan ibu, nenek, ibu-ibu saudara dan nenek-nenek saudara saya. Mereka semua memakai padanan itu sebagai pakaian harian. Selesa, praktikal dan begitu biasa dalam kehidupan kami.
Bagi saya, itulah pakaian di rumah yang tidak dapat dipisahkan daripada kenangan terhadap wanita-wanita yang membesarkan saya.
Bagi saya, busana Melayu seiring dengan Bahasa Melayu sebagai lambang jati diri. Kita saling mengenali melalui bahasa yang dituturkan dan pakaian yang diwarisi.
Warisan ini dikongsi oleh anak raja, bangsawan dan rakyat biasa. Fabrik dan perhiasannya mungkin membezakan kedudukan, acara atau kemampuan. Ada sutera, baldu, broked, songket ataupun kain kapas yang sederhana. Namun, pakaian yang begitu kita kenali ini merentasi segala perbezaan tersebut.
Hubungan saya sendiri dengan baju kurung amat mendalam dan penuh nilai sentimental. Sultan Abu Bakar, moyang saya, telah menetapkan busana Teluk Belanga sebagai pakaian rasmi Johor.
Memakainya menghubungkan saya dengan sejarah keluarga itu, tetapi kecintaan saya juga lahir daripada kebiasaan memakainya sepanjang hidup.
Saya antara mereka yang masih memakai baju kurung Teluk Belanga berjahit tangan. Saya memakainya ke majlis rasmi, ke acara yang kurang formal dan sebagai pakaian harian di rumah.
Dalam cuaca tropika kita yang panas, saya mendapati pakaian ini amat selesa. Potongannya yang longgar membolehkan pengaliran udara. Ia menutup aurat saya, dan bentuknya yang sopan selaras dengan tuntutan agama Islam yang saya anuti.
Saya dapat bergerak dengan selesa dan duduk dengan senang.
Baju kurung juga sesuai untuk pelbagai suasana. Dengan pilihan kain dan aksesori yang bersesuaian, bentuknya yang kita kenali itu boleh dipakai dalam pelbagai majlis. Ia boleh tampil anggun dan berwibawa. Ia sopan, mencerminkan penghormatan terhadap majlis dan orang yang kita temui.
Kadangkala, ada yang bertanya, “Mengapa memakai baju kurung asli?”
Saya lebih suka membiarkan keindahan kain, keseimbangan potongan dan kehalusan jahitannya menyerlah dengan sendiri.
Saya teringat Toh Puan Norashikin, isteri Tun Dr. Ismail, yang memakai apa yang saya anggap sebagai baju kurung yang sebenar. Sama ada daripada renda, broked ataupun songket, beliau tetap setia kepada bentuk tradisionalnya. Dalam ingatan saya, jarang sekali beliau memakai pakaian lain.
Saya juga teringat Tengku Ampuan Intan Zaharah, ketika menjadi Raja Permaisuri Agong, yang memakai baju kurung ke majlis-majlis rasmi.
Penampilan baginda yang begitu indah meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya. Baju kurung tradisional sememangnya layak menjadi persalinan seorang Permaisuri.
Saya teringat Azah Aziz serta anak perempuannya, Zeti, dengan baju kurung yang menjadi kebiasaan mereka: Kancing kecil di leher, seutas rantai mutiara dan keanggunan yang bersahaja. Kancing kecil itu sudah memadai.
Saya masih mengingati betapa anggun dan berwibawanya penampilan mereka.
Usaha Azah Aziz mendokumentasikan tekstil dan busana Melayu mengingatkan kita betapa banyaknya yang perlu difahami dan dipelihara.
Ibu-ibu saya memakai baju kurung dengan bangga. Nenek saya pula hampir tidak pernah memakai pakaian lain. Antara gambaran yang paling saya hargai ialah nenek mengenakan baju kurung baldu bersama kain berantai sempena istiadat kemahkotaan baginda.
Keindahan kain dan kewibawaan penampilannya terus terpahat dalam ingatan saya. Saya sendiri memakai baju kurung tradisional semasa majlis perkahwinan saya, untuk majlis khatam al-Quran dan istiadat bersiram. Sehingga hari ini, saya masih memakainya.
Saya memahami bahawa setiap generasi mempunyai cita rasa tersendiri. Ada ruang untuk kreativiti. Harapan saya ialah bentuk asalnya terus dikenali, dibuat dan dipakai.
Dalam lingkungan kehidupan saya ketika membesar, kami memahami pakaian yang sesuai untuk sesuatu acara.
Baju Kedah yang lebih pendek biasa dipakai sebagai pakaian santai yang selesa di rumah dan untuk urusan harian. Bagi majlis rasmi, kami mengenakan baju kurung labuh atau kebaya labuh yang jatuh terletak dengan anggun.
Pada usia saya sekarang, baju kurung menjadi pakaian saya pada kebanyakan waktu. Apabila mengunjungi kampung, itulah pilihan saya. Ada rasa dekat dan mesra pada pakaian ini yang menghubungkan saya dengan orang yang ditemui.
Ia sebahagian daripada cara hidup yang sama-sama kami kenali.
Sebab itulah saya mahu menggalakkan pemakaiannya diteruskan. Saya juga mahu kita memelihara seni pembuatannya.
Ada ilmu dalam memotong kain, membentuk dan menyambung pesak serta kekek, menebuk leher dan menghasilkan jahitan tulang belut yang halus di sekelilingnya. Ada kemahiran pada jahitan sembat yang mengemaskan hasil kerja, serta ketelitian dalam membuat dan meletakkan kocek.
Segala perincian ini memerlukan kesabaran, latihan dan mata yang terlatih. Semuanya membawa pengalaman para pembuatnya sejak turun-temurun. Jika kemahiran ini lenyap, sesuatu yang amat berharga akan hilang, sekalipun pakaian yang dinamakan baju kurung terus memenuhi kedai-kedai kita.
Untuk memeliharanya, kita mesti memastikan kemahiran ini mempunyai masa depan. Kita perlu memakai pakaian tersebut, menempahnya daripada mereka yang mahir membuatnya dan menggalakkan generasi muda mempelajarinya.
Sehelai baju kurung berjahit tangan membantu menyara kehidupan pembuatnya serta membuka peluang agar ilmu itu diwariskan daripada sepasang tangan kepada sepasang tangan yang lain.
Saya berharap kita terus menghargai keindahannya tanpa menuntut hiasan yang sarat. Saya berharap seorang wanita dapat memakai baju kurung sederhana bersama kain batik sarung dengan penuh keselesaan dan keyakinan, bangga akan warisan yang dibawanya.
Saya telah memakainya sebagai pengantin, sebagai Permaisuri dan dalam kehidupan harian di rumah. Dalam segala suasana itu, baju kurung tetap dekat dengan diri saya, selesa dipakai dan menjadi sebahagian daripada kehidupan saya.
Inilah warisan kita. Kita mesti memelihara pakaian ini serta kemahiran tangan yang tahu menghasilkannya.
Bagi saya, seni ini semakin pupus dan mesti dipelihara. Para pembuat busana kita tahu memotong, membentuk dan menjahit pakaian ini melalui ilmu yang diwariskan sejak turun-temurun.
Mereka tidak memerlukan Barat untuk mengajar cara memotong kain, mahupun label pereka untuk memberikan keistimewaan kepada hasil kerja mereka. Mereka memahami keseimbangan potongan, keselesaan, kesopanan dan keindahan.
Hari ini, bentuk-bentuk yang diwarisi itu terus menjadi ilham kepada rekaan moden. Apabila kita mengagumi baju kurung kontemporari, marilah kita turut mengiktiraf daya cipta para pembuat terdahulu yang ilmunya memungkinkan rekaan itu terhasil.
Nama mereka mungkin tidak pernah tertera pada sebarang label, tetapi kemahiran mereka terus hidup dalam pakaian yang kita kenakan. Itu juga warisan kita.
Saya memakai baju kurung dengan bangga. Ia menceritakan keluarga saya, warisan saya, dari mana saya berasal dan siapa diri saya—seorang Melayu. – UTUSAN
TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pemegang ijazah sarjana daripada Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini merupakan calon ijazah doktor falsafah (PhD) di ISTAC-UIAM.
The post Baju Melayu: Warisan yang saya sarungkan appeared first on Utusan Malaysia .
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Utusan Malaysia) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsUtusan Malaysia08:00
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Utusan Malaysia
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.