
Irama nasyid belum 'mati'
Only social or community posts, or a single source.
What happened
KUALA LUMPUR: Di sebalik lambakan genre dan rentak baharu yang mewarnai industri muzik, irama nasyid masih punya tempat di hati pendengar, malah mampu merentas generasi jika digarap dengan sentuhan semasa tanpa mengorbankan identiti asal. (Berita Harian, 07:08)
Read the reporting
1 report
Irama nasyid belum 'mati'
KUALA LUMPUR: Di sebalik lambakan genre dan rentak baharu yang mewarnai industri muzik, irama nasyid masih punya tempat di hati pendengar, malah mampu merentas generasi jika digarap dengan sentuhan semasa tanpa mengorbankan identiti asal.
Itu yang dibuktikan kumpulan Hijjaz menerusi single terbaharu, Akhir Bersamamu yang menggabungkan acuan muzik mereka dengan elemen pop kontemporari sehingga berjaya menarik perhatian pendengar muda.
Anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam, berkata pendekatan berkenaan membuktikan muzik bertemakan ketuhanan dan kerohanian tidak semestinya terikat dengan acuan lama untuk terus diterima dalam industri muzik hari ini.
"Apabila kami menghasilkan lagu Akhir Bersamamu yang sedang mendapat sambutan ketika ini, pendekatannya lebih kepada muzik pop.
"Wan Salleh selaku penerbit mengambil sedikit idea daripada muzik Bruno Mars, termasuk penggunaan trompet dan hasilnya memang kedengaran berbeza," katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah di Istana Budaya (IB), di sini, baru-baru ini.
Isman berkata, perubahan dari aspek melodi, lirik dan cara nyanyian memberi nuansa baharu kepada karya Hijjaz, sekali gus membuka ruang untuk muzik mereka didekati generasi muda.
"Lagu itu membuatkan orang teringat kepada Hijjaz, pada masa sama, anak muda juga menyukainya. Lagu itu sudah mendapat ratusan ribu tontonan dan penstriman.
"Sebab itu kami kata, kami masih menghasilkan muzik seperti dahulu, tetapi kami masukkan unsur baharu dari segi muzik dan cara nyanyian.
"Kalau dahulu seorang sahaja yang menyanyi, sekarang kami berempat menyanyi bersama. Itu juga satu perkara baharu dalam Hijjaz," katanya.
Mengulas peluang menjayakan konsert sempena tiga dekad perjalanan Hijjaz di IB, Isman menyifatkan pentas berkenaan sebagai peluang di luar jangkaan, selain menjadi petunjuk bahawa peminat masih dahagakan irama nasyid.
Lebih istimewa, konsert berkenaan bukan sekadar menghimpunkan anggota Hijjaz, sebaliknya membawa penonton menyusuri perjalanan kumpulan itu sepanjang tiga dekad pembabitan dalam industri nasyid tanah air.
"Peluang ini macam mimpi. Ia seperti satu impian yang kita tertanya-tanya, ada ke peluang seperti ini? Tetapi apabila peluang ini datang, peminat perlu datang dan menyaksikannya.
"Bagi peminat Hijjaz yang hadir, mereka akan dapat merasai pengalaman itu.
"Perjalanan yang kami akan bawa adalah perjalanan tiga dekad kami bersama kumpulan nasyid lain yang pernah kami didik," katanya.
Menurut Isman, konsert berkenaan turut mengetengahkan kisah kumpulan yang pernah mendapat sentuhan dan bimbingan mereka ketika berada di bawah Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB) suatu ketika dahulu.
Antaranya termasuk Inteam, UNIC, Mestica dan Aeman yang masing-masing dibentuk dengan identiti tersendiri mengikut acuan dan sasaran pendengar.
"Kami mencipta sendiri identiti setiap kumpulan. Inteam ada cara Inteam, ada unsur remaja. UNIC juga lebih kepada remaja.
"Apabila Mestica muncul, pendekatannya pula agak lebih dewasa. Jadi, perkara itu mewarnai HRSB ketika itu.
"Kami mahu setiap kumpulan mempunyai warna dan genre masing-masing. Alhamdulillah, apabila karya-karya itu dilancarkan, sambutannya sangat baik," katanya.
Dalam pada itu, Isman mengakui perjalanan Hijjaz di pentas istimewa itu turut mengundang rasa sebak apabila mengenangkan seorang lagi anggota asal, Allahyarham Mohd Salleh Ramli yang meninggal dunia akibat radang paru-paru pada 2001.
Walaupun sudah lebih dua dekad berpisah dengan sahabat seperjuangan, Isman berkata, pengaruh dan semangat Allahyarham masih dirasai dalam perjalanan Hijjaz.
"Walaupun jasadnya tiada, tetapi semangatnya masih membara. Memang saya rasakan arwah Salleh masih ada.
"Arwah Salleh antara individu yang banyak memberikan sumbangan kepada kumpulan seperti Inteam. Dia juga banyak membantu membentuk sahabat Hijjaz, iaitu Inteam dan kumpulan lain. Dia seorang yang sangat kreatif," katanya.
Sementara itu, anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun yang juga Pengarah Program Inteam Records berkata, usaha menjayakan konsert berkenaan bermula dengan idea menghasilkan album baharu buat Hijjaz.
Katanya, selepas album itu berjaya direalisasikan, pihaknya mula mengemukakan cadangan mengadakan konsert sebelum akhirnya mendapat kesepakatan daripada pihak IB.
"Untuk meyakinkan Hijjaz, kami bermula dengan menerbitkan album baharu terlebih dahulu untuk mereka, termasuk lagu Akhir Bersamamu. Daripada itu, kami cuba meyakinkan mereka untuk mengadakan konsert.
"Sebenarnya, ada beberapa lokasi lain yang kami bincangkan sebelum ini. Tetapi akhirnya kami mendapat peluang untuk membuat pembentangan dan berjaya mendapatkan IB sebagai lokasi konsert ini," katanya.
Bagi Hazamin, kerjasama berkenaan turut mempunyai nilai sentimental kerana Hijjaz adalah kumpulan yang mencungkil bakat mereka ketika masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
"Dahulu ketika album Kasih Kekasih dihasilkan, kami masih belajar di UIAM. Ketika itu, Hijjaz yang mencungkil bakat Inteam untuk menaikkan nama kumpulan kami.
"Lagu-lagu Hijjaz yang dihasilkan untuk kami ketika itu pula semuanya mendapat sambutan hebat. Boleh dikatakan lagu-lagu itu antara karya yang dianggap sangat baik dan diterima ramai.
"Kami pula mempunyai syarikat dan biasa menganjurkan konsert sebelum ini. Sudah empat, lima atau enam konsert kami kendalikan.
"Jadi, tiba masanya untuk kami membalas jasa mereka dan menggunakan kepakaran yang ada untuk menganjurkan konsert buat Hijjaz pula," katanya.
Menurut Hazamin, situasi itu seakan-akan melengkapkan satu kitaran apabila pihak yang pernah membantu menghasilkan karya untuk Inteam suatu ketika dahulu, kini menerima sokongan mereka pula.
"Sebenarnya agak jarang berlaku kerana sebelum ini mereka yang menerbitkan album kami. Tiba-tiba kali ini kami pula yang datang dan mendekati mereka untuk menerbitkan album mereka.
"Bagaimanapun, lagu, melodi dan hasil karya masih dihasilkan Hijjaz. Cuma kali ini kami yang membiayai penerbitan album itu sebagai usaha untuk menjayakannya.
"Rasanya sudah kira-kira 10 tahun mereka tidak menghasilkan album baharu. Jadi, album ini boleh dianggap sebagai satu kemunculan semula buat mereka dan kami bersyukur kerana diberi peluang untuk menjayakannya," katanya.
Hijjaz yang turut dianggotai Munif Ahmad, Faizal Osman dan Ariffin Rahim bakal kembali mengubat kerinduan peminat menerusi Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah yang dijadualkan berlangsung di IB pada 16 dan 17 Oktober ini.
Dianjurkan Inteam Records, konsert berkenaan bukan sekadar persembahan nostalgia, sebaliknya menjadi penghargaan terhadap perjalanan, karya, persahabatan, perjuangan serta legasi Hijjaz yang mewarnai perkembangan industri nasyid tanah air selama tiga dekad.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Berita Harian) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsBerita Harian07:08
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Berita Harian
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.