
Lambat kahwin sebab anak sulung perempuan
Only social or community posts, or a single source.
What happened
“Selama ini saya menjaga semua orang, tetapi apa yang saya mahukan untuk kehidupan saya sendiri?” (Utusan Malaysia, 09:45)
Read the reporting
1 report
Lambat kahwin sebab anak sulung perempuan
“Selama ini saya menjaga semua orang, tetapi apa yang saya mahukan untuk kehidupan saya sendiri?”
Persoalan itu mungkin bermain dalam fikiran sesetengah anak sulung perempuan yang terlalu lama mendahulukan keperluan keluarga sehingga kehidupan sendiri diketepikan.
Bagi mereka, soal perkahwinan bukan semata-mata mengenai jodoh, sebaliknya turut melibatkan kebimbangan tentang tanggungjawab terhadap ibu bapa dan adik-beradik yang selama ini dipikul.
Ada yang mahu terus membantu kewangan keluarga, menjaga ibu bapa atau memastikan adik-beradik dapat meneruskan kehidupan sebelum memberi perhatian kepada masa depan sendiri.
Lahlina Sofiya Rahman, 29, mengakui mempunyai keinginan untuk berkahwin, namun masih memikirkan tanggungjawab yang perlu diteruskan terhadap keluarga.
“Saya risau kalau sudah berkahwin nanti, apakah suami boleh terima atau tidak dengan apa yang saya lakukan sekarang,” katanya.
Menurutnya, dia bimbang tanggungjawab berkenaan boleh mencetuskan salah faham apabila pasangan menganggap dirinya lebih mengutamakan keluarga berbanding suami.
“Saya takut nanti dia kata saya lebihkan keluarga daripada dia dan perkara itu boleh menyebabkan pergaduhan,” ujarnya.
Sementara itu, Intan Amyra Mohd. Sayyidul, 35, pernah bertunang, namun hubungan berkenaan berakhir selepas dia terlalu memberikan tumpuan kepada keluarga sehingga mengabaikan pasangan.
“Saya terlalu fokus kepada keluarga dan pada masa sama terlalu perfectionist. Saya mahu semuanya sempurna, tetapi akhirnya pasangan saya rasa tidak mampu meneruskan hubungan ini,” katanya.
Pengalaman tersebut membuatkannya lebih berhati-hati untuk membina hubungan serius selagi tanggungjawab terhadap keluarga belum diselesaikan.
Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Rahima Dahlan berkata, dalam sesetengah keluarga, anak sulung perempuan sejak kecil sudah diberikan peranan sebagai ‘orang kedua’ selepas ibu bapa.
Menurutnya, mereka mungkin membantu menjaga adik, mengurus rumah, menjadi tempat ibu bapa berkongsi masalah atau membantu keluarga dari segi kewangan.
“Apabila peranan ini berterusan bertahun-tahun, tanggungjawab tersebut boleh menjadi sebahagian daripada identiti dirinya.
“Dia bukan sekadar merasakan ‘saya mahu membantu keluarga’, tetapi ‘keluarga memerlukan saya’,” katanya.
Bagaimanapun, keadaan itu bukan pengalaman semua anak sulung perempuan kerana dinamik keluarga, budaya, keadaan ekonomi dan personaliti individu turut memainkan peranan.
Bukan tidak mahu kahwin
Dr. Rahima berkata, keinginan untuk berkahwin tetap boleh wujud dalam diri seseorang wanita, namun tanggungjawab keluarga menjadi antara faktor yang menyebabkan hasrat itu ditangguhkan.
Keadaan itu boleh berlaku apabila wanita berperanan menjaga ibu bapa yang uzur, membiayai pengajian adik-beradik atau menjadi sumber kewangan utama keluarga.
“Kadangkala keputusan itu dibuat secara sedar. Tetapi ada juga yang tidak pernah benar-benar membuat keputusan untuk ‘menangguhkan perkahwinan’.
“Sebaliknya, mereka terlalu sibuk memenuhi tanggungjawab keluarga sehingga kurang ruang, masa dan tenaga emosi untuk membina hubungan sendiri,” jelasnya.
Namun, rasa bersalah juga boleh timbul apabila memberi keutamaan kepada kehidupan sendiri dianggap seolah-olah bermaksud mengabaikan keluarga.
Keadaan itu menjadi lebih kuat apabila seorang wanita sudah lama dikenali sebagai individu yang bertanggungjawab, boleh diharapkan dan sanggup berkorban.
Jika berlarutan, mereka boleh mengalami kesukaran membezakan antara kasih sayang dengan rasa wajib untuk sentiasa memenuhi keperluan orang lain.
Menunggu keadaan ‘sempurna’
Beliau berkata, wanita yang terlalu merasakan dirinya perlu menjaga keluarga terlebih dahulu mungkin menetapkan pelbagai syarat sebelum membenarkan diri melangkah ke fasa kehidupan seterusnya.
Antaranya termasuk menunggu sehingga ‘adik habis belajar’, ‘ibu sihat’ atau ‘kewangan keluarga stabil’.
Namun, keperluan keluarga sentiasa berubah dan satu tanggungjawab yang selesai boleh digantikan dengan keperluan baharu.
“Akhirnya, kehidupan peribadi terus ditangguhkan bukan kerana dia tidak mahu berkahwin, tetapi kerana dia tidak pernah merasakan keadaan sudah cukup ‘selamat’ untuk melepaskan sebahagian tanggungjawab tersebut,” jelasnya.
Kebimbangan turut timbul apabila wanita berkenaan memikirkan perubahan peranan selepas berkahwin.
“Dia mungkin risau tentang siapa yang akan menjaga ibu bapa selepas dia berkahwin, siapa yang akan membantu adik, atau sama ada pasangan boleh menerima tanggungjawab terhadap keluarga.
“Jika keluarga pula memberikan mesej seperti ‘kalau kakak tak ada, siapa nak uruskan kami?’, kebimbangan dan rasa bersalah itu boleh menjadi lebih kuat,” katanya.
Tanggungjawab ada batas
Tambah beliau, wanita perlu membezakan antara tanggungjawab kepada keluarga dengan rasa tanggungjawab yang berlebihan supaya keperluan sendiri tidak terus diketepikan.
“Satu soalan yang berguna ialah ‘Adakah saya membantu kerana saya memilih untuk membantu, atau kerana saya merasakan saya tiada pilihan?’
“Tanggungjawab yang sihat masih mempunyai sempadan. Kita boleh menyayangi ibu bapa, membantu adik-beradik dan pada masa yang sama mempunyai kehidupan sendiri,” katanya.
Rasa bersalah yang muncul apabila seseorang mula memberi ruang kepada kehidupan sendiri juga tidak semestinya bermaksud dia melakukan kesalahan.
“Kadangkala rasa bersalah muncul kerana dia sedang melakukan sesuatu yang berbeza daripada peranan yang telah dimainkan selama bertahun-tahun.
“Perubahan boleh dilakukan secara beransur-ansur. Berbincang dengan keluarga, berkongsi semula tanggungjawab dengan adik-beradik, menetapkan sempadan yang munasabah dan membuat perancangan mengenai penjagaan ibu bapa boleh membantu,” jelasnya.
Kehidupan tidak semestinya perlu dilihat sebagai pilihan antara keluarga dan diri sendiri kerana kedua-duanya boleh berjalan bersama melalui perancangan, komunikasi dan pembahagian tanggungjawab yang lebih seimbang.
Kakak bukan penyelamat keluarga
Sementara itu, Pegawai Psikologi (Kaunseling), Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, anak sulung perempuan dalam sesetengah keluarga diberikan tanggungjawab lebih besar kerana dianggap paling dipercayai, matang dan mampu membantu ibu bapa.
Menurutnya, budaya, struktur keluarga serta jangkaan terhadap peranan jantina turut mempengaruhi keadaan apabila anak perempuan sulung lebih banyak membantu kerja rumah, menjaga adik-beradik atau menjadi individu yang sering dirujuk oleh ibu bapa.
“Lama-kelamaan, peranan tersebut boleh menjadi satu identiti dalam keluarga seperti ‘kakak yang menjaga semua orang’.
“Apabila perkara ini berlaku sejak kecil, tanggungjawab itu mungkin dirasakan bukan lagi sebagai bantuan, tetapi sebagai satu kewajipan,” katanya.
Keadaan itu boleh mempengaruhi cara wanita berkenaan melihat perkahwinan apabila sudah terbiasa menjadi penjaga, penyumbang kewangan atau individu yang menguruskan pelbagai keperluan keluarga.
“Masalahnya bukan semestinya dia tidak mahu berkahwin. Sebaliknya, dia mungkin takut meninggalkan tanggungjawab yang selama ini bergantung kepadanya,” jelasnya.
Tanggungjawab perlu dikongsi
Ujar Nurfarahira, kebergantungan adik-beradik kepada anak sulung dari segi kewangan, pengangkutan, penjagaan atau membuat keputusan juga boleh mempengaruhi perancangan perkahwinan.
Anak sulung mungkin menetapkan syarat kepada diri sendiri seperti mahu berkahwin selepas adik habis belajar atau sudah mendapat pekerjaan.
Antara kesilapan keluarga ialah menjadikan anak sulung sebagai penyelesaian utama kepada masalah keluarga sehingga tanggungjawab adik-beradik dan penjagaan ibu bapa terlalu bergantung kepadanya.
“Mereka meletakkan tanggungjawab adik-adik sepenuhnya kepada kakak sehingga menjadi satu bebanan yang adakalanya boleh mengganggu kesejahteraan mental anak sulung ini.
“Begitu juga dengan tidak merancang pembahagian tanggungjawab menjaga ibu bapa sehingga adik-beradik lain mengabaikan apa yang sepatutnya mereka lakukan,” ujarnya.
Nurfarahira menegaskan, penjagaan ibu bapa dan bantuan kepada adik-adik sepatutnya dikongsi mengikut kemampuan masing-masing.
“Menjaga ibu bapa bukan tanggungjawab automatik anak sulung perempuan seorang sahaja. Setiap anak boleh menyumbang mengikut kemampuan masing-masing, tidak kira dari sudut kewangan, masa, pengangkutan, penjagaan, urusan hospital atau sokongan emosi,” katanya.
Beri ruang kahwin
Tambahnya, keluarga perlu mengubah cara mereka melihat perkahwinan anak sulung supaya wanita berkenaan tidak merasakan keputusan itu bermakna meninggalkan keluarga.
“Kita perlu mengubah naratif daripada ‘kalau kamu kahwin, kamu tinggalkan kami’ kepada ‘walaupun kamu sudah berkahwin, kamu tetap anak kami dan kami tetap keluarga kamu’.
“Bahasa dan pilihan perkataan untuk mengatur bicara pada anak sulung ini amat penting. Anak perlu diberikan ruang untuk memahami seseorang boleh mempunyai dua bentuk keluarga iaitu keluarga asal dan yang dibina bersama pasangan,” jelasnya.
Katanya, pasangan atau bakal suami juga memainkan peranan penting dalam membantu wanita membina batas yang sihat.
Pasangan perlu memahami wanita berkenaan mungkin mempunyai komitmen emosi dan tanggungjawab besar terhadap keluarga asal.
Namun, pasangan juga perlu membantu membina batas yang sihat, bukan sekadar berkata ‘tak apa, awak boleh terus jaga keluarga awak’.
Sebaliknya, pasangan boleh berbincang tentang tanggungjawab, bantuan kewangan, kekerapan membantu keluarga dan sebagainya.
Beberapa langkah praktikal boleh dilakukan supaya tanggungjawab sebagai anak sulung tidak menjadi penghalang kepada kehidupan sendiri.
Antaranya, mengenal pasti tanggungjawab sebenar, membezakan perkara yang memang perlu dilakukan dengan perkara yang sebenarnya boleh dilakukan oleh orang lain serta membahagikan tanggungjawab antara adik-beradik.
“Jangan biarkan semua perkara automatik jatuh kepada kakak sulung. Selain itu, kita boleh ajarkan adik untuk berdikari. Berikan ruang kepada anak sulung untuk membuat pilihan hidup, kerjaya, perkahwinan, tempat tinggal dan kehidupan peribadi adalah sebahagian daripada hak perkembangan dirinya,” jelasnya.
Isu ini bukan tentang anak sulung patut atau tidak patut menjaga ibu bapa.
“Isunya ialah sejauh mana tanggungjawab itu diletakkan sehingga anak sulung merasakan dia perlu mengorbankan kehidupannya sendiri.
“Menjadi anak yang bertanggungjawab adalah sesuatu yang baik. Tetapi tidak bermaksud perlu menjadi penyelamat keluarga sepanjang hayat,” katanya.
The post Lambat kahwin sebab anak sulung perempuan appeared first on Utusan Malaysia .
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Utusan Malaysia) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsUtusan Malaysia09:45
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Utusan Malaysia
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.