
Jiwa kepimpinan, bakat berhujah Syahmi ‘ex-MCKK’
Only social or community posts, or a single source.
What happened
PENGIKTIRAFAN di pentas ASEAN mengukuhkan peranan anak muda ini dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan keterangkuman teknologi. (Kosmo!, 10:00)
Read the reporting
1 report
Jiwa kepimpinan, bakat berhujah Syahmi ‘ex-MCKK’
PENGIKTIRAFAN di pentas ASEAN mengukuhkan peranan anak muda ini dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan keterangkuman teknologi.
Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal, 21, membuktikan kemampuan itu apabila meraih pengiktirafan Best Idea of Solution’s Team AUN-SAN & VOX Meeting 2026 di Indonesia September lalu.
Tidak sekadar itu, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut meraih pingat emas kategori pembentang terbaik pada Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Varsity Carnival 2025 di Thailand.
Namun, kejayaan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap kehebatannya berhujah, malah mencerminkan kesungguhannya membawa idea mahasiswa ke peringkat serantau.
“Mahasiswa tidak seharusnya hanya menjadi penerima dasar.
“Sebaliknya mahasiswa mesti mampu menjadi sebahagian daripada proses membentuk penyelesaian,” katanya sebagai mukadimah kepada K-Kampus ketika ditemu bual.
Berkongsi kisah, siswa kelahiran Kajang, Selangor ini merupakan anak kedua daripada lima beradik dan mula mengasah bakat kepimpinan sejak sekolah rendah.
Ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kajang Utama, dia yang mesra disapa Syahmi aktif dalam akademik dan kokurikulum hingga menerima Anugerah Tokoh Murid.
Pengalaman sebagai pengawas menjadi antara asas awal yang membentuk kemahiran mengurus organisasi dan memikul tanggungjawab.
Perjalanan itu diteruskan di Malay College Kuala Kangsar (MCKK), institusi yang terkenal dengan tradisi melahirkan pemimpin negara. Sepanjang lima tahun di sana, Syahmi aktif dalam kepimpinan, sukan dan kesukarelawanan, selain menerima MCKK Leadership Award 2022.
Syahmi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial. – KOLEKSI SYAHMI REZAL
Anugerah yang dikurniakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu menjadi antara pengiktirafan penting dalam perjalanan awalnya.
Dia turut mewakili MCKK ke pertandingan Eton Fives di Shrewsbury School, England, ketika berada di Tingkatan Dua.
Minat terhadap kemasyarakatan pula diterjemahkan melalui program pendidikan bersama komuniti Orang Asli, menerusi kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dan Universiti Selangor (Unisel).
Pengalaman itu membuka matanya terhadap kepentingan pendidikan inklusif, sekali gus membentuk kesedaran bahawa kepimpinan perlu membawa manfaat kepada masyarakat.
Selepas meninggalkan MCKK, Syahmi melanjutkan pengajian di UUM mengikuti pengajian Foundation in Management sebelum mendalami bidang undang-undang yang diminatinya sejak sekolah menengah.
Pendedahan kepada sistem perundangan Malaysia mengukuhkan minatnya terhadap keadilan, keluhuran undang-undang dan tanggungjawab institusi.
“Mempelajari undang-undang bukan sekadar usaha membina kerjaya, tetapi merupakan satu tanggungjawab intelektual dan moral,” katanya.
Penghayatan terhadap amanah dan demokrasi pula akhirnya membawanya menerajui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM bagi sesi 2025/2026 selaku Yang Dipertua (YDP).
Baginya, jawatan itu bukan simbol kedudukan, sebaliknya mandat mahasiswa untuk memperjuangkan kepentingan serta membawa suara mereka kepada pentadbiran.
SYAHMI (dua dari kiri) bersama rakan-rakan dari seluruh negara ASEAN yang dinobatkan sebagai Best Idea Presentation Award VOX Meeting 2026 di Indonesia September lalu.
Mengimbangi tuntutan sebagai mahasiswa dengan tanggungjawab lain bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila berdepan kekangan kewangan serta peraturan dan prosedur universiti yang perlu dipatuhi.
Dalam usaha menggerakkan program dan menjayakan pelbagai inisiatif, jejaka yang tidak lokek dengan senyuman manis ini mengakui perlu bijak mengurus masa, menyusun keutamaan serta memastikan setiap perancangan berjalan mengikut kemampuan dan garis panduan ditetapkan pihak universiti.
“Kekangan kewangan turut menuntut saya mencari jalan untuk memastikan sesuatu usaha dapat diteruskan tanpa membebankan pihak yang terlibat.
“Pada masa sama, setiap urusan memerlukan kesabaran, komunikasi yang baik dan perancangan teliti agar matlamat yang ingin dicapai tidak terjejas,” katanya.
SYAHMI semasa meraih anugerah Kepimpinan MCKK pada 2022.
Dalam hidup, Syahmi memilih pendekatan berasaskan fakta dan rundingan tanpa mengetepikan ketegasan terhadap prinsip yang diperjuangkan.
“Diplomasi bagi saya bukan bermaksud mengalah, tetapi strategi untuk memastikan sesuatu tuntutan akhirnya boleh diterjemahkan kepada tindakan.
“Sebagai contoh, pendekatan ini saya terapkan dalam usaha memperkukuh kebajikan menerusi Dapur Siswa Madani, Menu Kasih Siswa dan bantuan kecemasan.
“MPP turut menggerakkan Tabung Kebajikan Mahasiswa yang berjaya mengumpulkan lebih RM50,000 bagi membantu mahasiswa memerlukan.
“Bantuan disalurkan kepada mereka yang berdepan kesempitan kewangan, masalah keluarga, keperluan perubatan dan kecemasan. Kebajikan mahasiswa bukan sekadar angka dalam laporan, ia berkaitan dengan maruah, peluang dan kemampuan seorang mahasiswa untuk meneruskan pendidikan,” tegasnya.
Sementara itu, di pentas antarabangsa, dia membawa perspektif mahasiswa Malaysia ke AUN-SAN & VOX Meeting 2026 di Universitas Airlangga, Indonesia.
Cadangan dasar yang dibentangkan bersama kumpulannya itu memberi tumpuan kepada akses kecerdasan buatan (AI) yang mudah dicapai, tersedia dan mampu milik.
Kerangka Accessible, Available and Affordable diketengahkan bagi memastikan manfaat AI tidak terhad kepada kelompok yang berkemampuan.
“Saya berpandangan jurang akses teknologi berisiko memburukkan ketidaksamarataan pendidikan dan peluang pekerjaan jika tidak ditangani.
“Teknologi yang canggih tidak akan memberikan impak inklusif sekiranya ia sukar dicapai, tidak tersedia atau terlalu mahal untuk digunakan,” katanya lagi.
Pencapaian itu mengukuhkan keyakinannya bahawa mahasiswa mampu menyumbang idea dalam perbincangan dasar, bukan sekadar menjadi pemerhati.
Sebelum itu, penyertaannya dalam IMT-GT Varsity Carnival 2025 di Thailand menumpukan risiko penyalahgunaan AI dalam penyebaran fahaman ekstrem.
Kajian tersebut menekankan kepentingan literasi digital, pemikiran kritikal dan kerjasama serantau untuk melindungi golongan belia.
Penglibatan dalam debat dan pertandingan mooting turut mengasah kemahirannya berhujah, menilai fakta serta memahami isu daripada pelbagai perspektif.
Dia juga mendapat pendedahan praktikal melalui latihan industri di mahkamah dan firma guaman, sekali gus memperkukuh minat terhadap profesion undang-undang.
Ditanya tentang hala tujunya selepas tamat pengajian, Syahmi yang merupakan peminat sate ini berhasrat menceburi bidang undang-undang korporat dan komersial, di samping meneruskan minat terhadap tadbir urus serta dasar awam.
Namun, baginya, kejayaan sesebuah kerjaya bukan sekadar soal kedudukan, tetapi bagaimana ilmu dan pengalaman dapat dimanfaatkan untuk masyarakat.
Legasi yang mahu ditinggalkannya di UUM ialah budaya kebajikan, pemikiran kritikal dan keberanian mahasiswa mencabar status quo secara bertanggungjawab.
“Jawatan kami mungkin telah berakhir, tetapi perjuangan untuk kebajikan, pemikiran dan keberanian tidak sepatutnya berakhir bersama satu sesi MPP,” tutupnya.
The post Jiwa kepimpinan, bakat berhujah Syahmi ‘ex-MCKK’ appeared first on Kosmo Online .
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Kosmo!) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsKosmo!10:00
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Kosmo!
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.