
Kos meningkat, kuasa beli pengguna merosot
Only social or community posts, or a single source.
What happened
Kos meningkat, kuasa beli pengguna merosot (Utusan Malaysia, 07:31)
Read the reporting
1 report
Kos meningkat, kuasa beli pengguna merosot
MUKADIMAH
Industri peruncitan semakin berhadapan cabaran apabila pengguna lebih berhati-hati dalam berbelanja, peniaga pula berdepan margin keuntungan menipis. Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad , DATUK AMEER ALI MYDIN melihat keadaan ini sebagai cabaran besar yang memerlukan pendekatan lebih berkesan menerusi Belanjawan 2027.
Beliau turut menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), memperhalusi bantuan kepada golongan M40, berpendapatan rendah serta menilai cadangan gaji RM2,500 bagi graduan berdasarkan realiti pasaran kerja.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto , AFIQ RAZALI dan juruvideo, ZUID SAMSON, Ameer turut menekankan kepentingan memperkukuh keselamatan makanan negara dan memastikan kedai runcit kecil mendapat peluang lebih seimbang dan saksama dalam menyertai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
TIDAK BANYAK KEJUTAN
MINGGUAN MALAYSIA: Sebagai antara pemain utama dalam industri peruncitan, apakah pandangan Datuk mengenai Belanjawan 2027?
Pada pandangan saya, Belanjawan 2027 tidak membawa banyak kejutan. Secara keseluruhannya, belanjawan ini dilihat sebagai belanjawan seimbang. Daripada segi langkah kerajaan untuk membantu rakyat dan golongan peniaga, terdapat pelbagai bentuk sokongan disediakan, termasuk melalui dasar percukaian.
Namun begitu, kerajaan mempunyai kekangan daripada segi kewangan. Walaupun kerajaan mungkin mahu melaksanakan lebih banyak inisiatif pembangunan, kemampuan untuk berbuat demikian masih terhad kerana dana pembangunan yang diperuntukkan dilihat tidak mencukupi.
Jika kita melihat keseluruhan belanjawan, peruntukan untuk dana pembangunan hanya sekitar RM83 bilion. Jumlah ini pada pandangan saya masih tidak mencukupi bagi negara seperti Malaysia yang mempunyai banyak keperluan pembangunan.
Bagaimanapun, kita memahami kerajaan perlu mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan negara. Defisit fiskal juga berada pada paras sekitar 3.5 hingga 3.6 peratus, dan kita tidak mahu defisit tersebut meningkat terlalu tinggi.
Sehubungan itu, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada masa hadapan. Ramai ahli perniagaan telah menyuarakan cadangan supaya GST diperkenalkan semula kerana sistem percukaian ini dilihat lebih adil dan lebih mudah dilaksanakan.
Walaupun pelaksanaan GST sebelum ini mendapat tentangan daripada sebahagian golongan peniaga, kita perlu memahami kerajaan memerlukan sumber pendapatan yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan negara. Kutipan daripada cukai pendapatan sahaja mungkin tidak mencukupi, menyebabkan kerajaan perlu bergantung pada pelbagai bentuk cukai lain, termasuk cukai jualan.
Namun begitu, pelaksanaan pelbagai jenis cukai yang berbeza telah menjadikan sistem percukaian semakin rumit. Cukai jualan tidak sama dengan GST yang berasaskan penggunaan. Cukai jualan boleh dikenakan terhadap barangan atau perkhidmatan tertentu, termasuk perkara berkaitan kos sewaan.
Keadaan ini boleh menyebabkan kesan cukai berganda atau berlapis apabila kos tertentu dikenakan cukai pada beberapa peringkat. Akhirnya, kos operasi perniagaan meningkat dan beban itu boleh memberi kesan kepada harga barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.
CABARAN INDUSTRI PERUNCITAN
Bagaimana Datuk melihat corak perbelanjaan rakyat ketika ini? Adakah pengguna semakin mengurangkan pembelian dan berjimat?
Saya melihat industri peruncitan di Malaysia kini berdepan dengan pelbagai cabaran. Antaranya pendapatan boleh guna rakyat yang semakin terjejas. Gaji minimum masih berada pada paras
RM1,700 sejak dua tahun lalu, sedangkan kos sara hidup terus meningkat. Keadaan ini menyebabkan kuasa beli pengguna semakin tertekan.
Kita juga perlu mengambil kira kenaikan harga barangan yang berlaku atas pelbagai faktor, termasuk konflik di Asia Barat yang boleh memberikan kesan kepada kos dan rantaian bekalan. Walaupun kadar inflasi keseluruhan yang dilaporkan berada pada paras 1.9 peratus, realiti yang dirasai oleh pengguna mungkin berbeza.
Kita dapat melihat harga ayam dan barangan keperluan lain meningkat, begitu juga dengan kos makan di restoran yang semakin mahal. Hakikatnya, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan merupakan cabaran yang perlu dihadapi setiap tahun.
Oleh itu, gaji pekerja perlu disemak dan dinaikkan selaras dengan peningkatan kos sara hidup, dengan mengambil kira produktiviti. Ini perkara yang sering ditekankan oleh golongan peniaga kerana kos operasi perniagaan turut meningkat.
Jika pendapatan pekerja tidak meningkat seiring dengan kenaikan kos, pendapatan boleh guna mereka akan semakin terjejas. Akibatnya, pengguna mempunyai peruntukan yang lebih kecil untuk berbelanja.
Jika melihat laporan prestasi sebenar dikeluarkan Persatuan Peruncit Malaysia (Malaysia Retailers Association, MRA), terdapat penurunan prestasi perniagaan dalam segmen pasar raya dan pasar raya besar. Perkara ini membimbangkan kerana premis-premis tersebut menjual barangan keperluan asas, termasuk makanan keperluan harian rakyat dan bukannya barangan mewah.
Secara keseluruhannya, kuasa beli pengguna semakin tertekan dan keadaan ini memberikan cabaran besar kepada industri peruncitan. Apabila pengguna mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih rendah, mereka akan menjadi lebih berhati-hati dalam berbelanja, termasuk mempertimbangkan produk yang lebih murah dan mengurangkan pembelian yang kurang penting. Jika keadaan ini berterusan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna, malah turut menjejaskan prestasi jualan dan kelangsungan perniagaan dalam sektor peruncitan.
KELAYAKAN GRADUAN TIDAK SEPADAN PEKERJAAN
Cadangan penetapan gaji RM2,500 bagi graduan baharu dan pekerja separa mahir, adakah setimpal dengan kos sara hidup, terutamanya mereka yang tinggal di bandar?
Saya bukan tidak bersetuju dengan cadangan penetapan gaji RM2,500 bagi graduan baharu. Malah, gaji RM2,500 kadangkala masih tidak mencukupi untuk graduan memandangkan mereka telah menghabiskan masa untuk belajar dan mendapatkan kelayakan akademik. Jika dibandingkan dengan negara lain, gaji graduan sebanyak RM2,500 boleh dianggap rendah.
Namun, perkara paling penting, gaji perlu bersesuaian dengan kemahiran dan tugas yang dilakukan. Bagi graduan yang bekerja di pejabat, terdapat pekerjaan yang sesuai dibayar gaji RM2,500.
Bagaimanapun, cabarannya adalah gaji sepatutnya ditentukan berdasarkan fungsi dan tanggungjawab pekerjaan, bukannya kelayakan akademik semata-mata.
Sebagai contoh, di Mydin, terdapat graduan yang bekerja sementara selama tiga hingga enam bulan sementara menunggu peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka. Dalam industri peruncitan, kami menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja sebagai juruwang. Pada masa ini, jika gaji juruwang adalah RM2,000, majikan perlu membayar gaji tersebut beserta elaun yang berkaitan, jika ada.
Namun, sekiranya seorang graduan memohon untuk bekerja sementara sebagai juruwang selama tiga hingga enam bulan, timbul persoalan tentang kadar gaji yang perlu dibayar. Jika graduan perlu dibayar RM2,500, sedangkan pekerja lain yang menjalankan tugas sama menerima RM2,000, adakah keadaan itu adil? Sudah tentu keadaan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja sedia ada.
Pada pandangan saya, kerajaan tidak seharusnya menentukan secara terperinci kadar gaji setiap pekerja tanpa mengambil kira jenis pekerjaan yang dilakukan. Saya memahami graduan mempunyai kelayakan tertentu. Jika kelayakan tersebut sepadan dengan fungsi pekerjaan, gaji yang lebih tinggi mungkin wajar diberikan.
Sebagai contoh, graduan dalam bidang perakaunan mungkin perlu dibayar RM3,500 kerana kadar pasaran bagi graduan dalam bidang tersebut boleh melebihi RM3,000, bergantung pada jawatan dan keperluan industri.
Namun, jika kelayakan graduan tidak sepadan dengan pekerjaan yang ditawarkan, keadaan ini boleh menyukarkan mereka mendapatkan pekerjaan. Saya bimbang dasar seperti ini mungkin menyebabkan pengangguran graduan meningkat dan bukannya berkurang.
Selain itu, kita juga perlu mengambil kira isu pekerja asing. Berdasarkan dasar kerajaan yang dirujuk, pekerja asing perlu dibayar gaji sama seperti pekerja tempatan bagi pekerjaan yang berkenaan.
Sebagai contoh, jika gaji pekerja di kedai dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000, majikan juga perlu membayar kadar tersebut kepada pekerja asing yang tertakluk pada ketetapan berkenaan. Perkara ini tidak menjadi masalah sekiranya kadar gaji ditetapkan dengan jelas.
Namun, kita tidak boleh lupa terdapat juga pekerja asing yang mempunyai kelulusan akademik di negara asal mereka tetapi tidak mendapat pekerjaan di sana. Oleh itu, mereka datang ke Malaysia atau negara lain untuk mencari peluang pekerjaan.
Persoalannya, adakah pekerja asing yang mempunyai kelulusan sebagai graduan juga perlu dibayar RM2,500 walaupun mereka bekerja dalam jawatan yang sama seperti pekerja lain? Perkara ini boleh menjadi cabaran besar kepada majikan, sedangkan kita juga mahu memberikan peluang pekerjaan kepada graduan tempatan.
Pada pandangan saya, kita perlu memastikan terdapat mekanisme yang jelas untuk menentukan siapa layak menerima gaji RM2,500 dan bagaimana dasar ini akan dilaksanakan. Saya bimbang peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan graduan tidak mencukupi untuk membolehkan majikan membayar gaji tersebut.
BANTUAN SARA RM400 UNTUK M40?
Bagaimanakah Datuk melihat bantuan yang disediakan dalam Belanjawan 2027, khususnya melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)?
Saya percaya ramai rakyat Malaysia berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang disediakan melalui STR dan SARA. Peruntukan bagi bantuan ini telah meningkat daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion, iaitu pertambahan sebanyak RM1 bilion. Jumlah ini bukan sedikit kerana RM1 bilion merupakan peruntukan besar dan menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat.
Namun begitu, kita perlu melihat perkara ini daripada dua aspek. Pertama, bantuan SARA yang diberikan secara bulanan kepada golongan B40, dengan jumlah bantuan berbeza mengikut kelayakan, termasuk RM100 atau RM200 sebulan. Kedua, bantuan sekali bayar sebanyak RM200 yang diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Pada pandangan saya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menambah baik kaedah pengagihan bantuan sekali bayar sebanyak RM200 tersebut.
Daripada memberikan bantuan yang sama kepada semua rakyat Malaysia, mungkin lebih baik jika peruntukan itu disasarkan kepada golongan yang lebih memerlukan, khususnya kumpulan M40 berpendapatan rendah.
Pada masa ini, golongan B40 menerima bantuan berdasarkan kriteria pendapatan isi rumah yang ditetapkan kerajaan. Namun begitu, kita juga perlu melihat keadaan golongan M40 yang kini turut berdepan tekanan kos sara hidup.
Sebagai contoh, sebuah keluarga yang mempunyai empat atau lima orang ahli dan berpendapatan isi rumah RM6,000 sebulan di Kuala Lumpur mungkin masih menghadapi kesukaran menampung perbelanjaan harian, termasuk kos tempat tinggal, makanan, pengangkutan dan pendidikan anak-anak.
Oleh itu, saya berpandangan kerajaan boleh mempertimbangkan pengagihan bantuan yang lebih bersasar. Sebagai contoh, daripada memberikan RM200 kepada semua rakyat Malaysia, kerajaan boleh menilai kemungkinan memberikan bantuan sebanyak RM400 kepada golongan M40 berpendapatan rendah, misalnya isi rumah yang berpendapatan RM6,000 hingga RM7,000 sebulan, tertakluk pada kemampuan kewangan kerajaan dan kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Cadangan saya adalah supaya bantuan SARA terus disasarkan kepada golongan B40, manakala satu lagi bentuk bantuan boleh diwujudkan khusus untuk golongan M40 berpendapatan rendah.
Dengan tekanan kos bahan api, pengangkutan, logistik dan rantaian bekalan, sejauh manakah peniaga runcit mampu menyerap kenaikan kos tanpa memindahkannya kepada pengguna?
Industri perniagaan di Malaysia sangat kompetitif, termasuk sektor peruncitan.
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Utusan Malaysia) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsUtusan Malaysia07:31
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Utusan Malaysia
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.