
Pelihara akidah di sebalik keinginan mencari ketenangan jiwa
Only social or community posts, or a single source.
What happened
ADA orang mencari ketenangan selepas kehilangan seseorang disayangi. Ada yang penat dengan tekanan pekerjaan, masalah rumah tangga atau beban kewangan. (Berita Harian, 12:54)
Read the reporting
1 report
Pelihara akidah di sebalik keinginan mencari ketenangan jiwa
ADA orang mencari ketenangan selepas kehilangan seseorang disayangi. Ada yang penat dengan tekanan pekerjaan, masalah rumah tangga atau beban kewangan.
Dalam keadaan begini, tawaran untuk memulihkan emosi dan menemukan semula makna kehidupan mudah menarik perhatian.
Keinginan itu wajar difahami. Setiap orang memerlukan ruang berehat, didengari dan dibantu. Namun, ketika seseorang sedang terdesak mencari jalan keluar, janji menyenangkan hati boleh diterima tanpa banyak pertanyaan. Lebih-lebih lagi apabila disampaikan individu kelihatan memahami kesedihannya.
Perbincangan semasa mengenai fahaman 'New Age Movement' mengingatkan umat Islam mengenai keperluan meneliti kandungan sesuatu ajaran dan program kerohanian.
Pada 28 September lalu, kerajaan menegaskan dakwaan berkaitan ajaran bercanggah dengan akidah akan disiasat sebelum tindakan selanjutnya diambil.
Pendekatan ini meletakkan penelitian dan siasatan sebagai asas tindakan, bukan bergantung kepada tanggapan masyarakat.
Bagi orang ramai, persoalan lebih dekat dengan kehidupan ialah bagaimana hendak memastikan usaha mencari ketenangan tidak membawa kepada pegangan yang mengelirukan.
Istilah seperti 'healing', tenaga positif dan pembangunan diri sering digunakan dalam pelbagai program.
Penggunaan istilah ini tidak memadai untuk menentukan sama ada sesuatu kegiatan bercanggah dengan Islam. Kandungan, kepercayaan dibawa serta amalan diminta daripada peserta perlu diteliti.
Berehat, melakukan senaman, mendapatkan kaunseling atau mempelajari kemahiran mengurus emosi boleh menjadi sebahagian daripada usaha menjaga kesejahteraan diri.
Persoalan akidah timbul apabila sesuatu program mula membawa dakwaan kuasa ghaib, hubungan manusia dengan Tuhan atau cara menentukan nasib yang bercanggah dengan pegangan Islam.
Sebagai contoh, dakwaan suatu tenaga mempunyai kuasa tersendiri untuk menentukan rezeki atau seseorang guru mengetahui perkara ghaib secara mutlak memerlukan penelitian serius.
Begitu juga apabila peserta diminta mempercayai kewajipan agama tidak lagi terpakai selepas mencapai tahap kerohanian tertentu.
Rasa tenang selepas mengikuti sesuatu sesi tidak membuktikan semua ajarannya benar. Perasaan lega boleh lahir kerana seseorang diberi perhatian, berada dalam suasana nyaman atau mendapat sokongan orang lain. Kesahihan pegangan agama tetap perlu dinilai berdasarkan ilmu dan rujukan yang berautoriti.
Sebelum menyertai program menyentuh agama dan kerohanian, masyarakat perlu membiasakan diri bertanya. Siapakah pembimbingnya. Apakah latar pendidikan dan sumber ajarannya. Apakah amalan akan dilakukan. Adakah peserta dibenarkan mendapatkan pandangan daripada pihak lain.
Pembimbing yang bertanggungjawab sepatutnya bersedia menjelaskan asas sesuatu amalan. Populariti, jumlah pengikut dan testimoni peserta boleh membantu mengenali sesebuah program, tetapi semuanya tidak menggantikan semakan terhadap kandungannya.
Sikap berhati-hati semakin diperlukan apabila seorang pembimbing menuntut ketaatan tanpa soal, melarang peserta merujuk pihak berautoriti atau mendakwa hanya kumpulannya memiliki jalan menuju kebenaran.
Permintaan bayaran tidak jelas dan arahan merahsiakan amalan daripada keluarga juga patut menimbulkan pertanyaan.
Tanda seperti ini bukan alasan untuk terus menghukum seseorang sebagai pembawa ajaran sesat. Ia menjadi sebab untuk menghentikan sementara pembabitan, mendapatkan penjelasan dan merujuk pihak mempunyai kepakaran.
Dalam urusan akidah, keberanian bertanya ialah sebahagian daripada tanggungjawab menjaga diri. Seseorang sepatutnya dipersalahkan hanya kerana mahu memahami perkara diminta untuk dipercayainya.
Usaha mencegah penyelewengan perlu mengambil kira mengapa orang ramai tertarik kepada sesuatu ajaran. Ada mencari jawapan tujuan hidup. Ada yang mahu keluar daripada rasa bersalah, kesunyian atau kekecewaan.
Jika persoalan ini tidak mendapat perhatian, mereka mungkin mencari jawapan daripada sesiapa sahaja yang sanggup mendengar.
Oleh itu, pendidikan akidah perlu dikaitkan dengan pengalaman kehidupan. Masyarakat memerlukan penjelasan hubungan antara usaha, doa dan tawakal serta cara menghadapi ujian tanpa terperangkap dengan janji semua masalah boleh diselesaikan melalui amalan tertentu.
Institusi agama juga perlu menjadi tempat mudah didekati untuk bertanya. Orang yang keliru memerlukan jawapan jelas dan layanan yang menghormati maruahnya.
Jika setiap pertanyaan disambut dengan cemuhan, kekeliruan mungkin disembunyikan sehingga semakin sukar dibetulkan.
Pada masa yang sama, kesedihan dan tekanan emosi tidak wajar dianggap sebagai bukti seseorang lemah iman.
Sokongan keluarga, bimbingan agama dan bantuan profesional boleh saling melengkapi. Mendapatkan rawatan atau kaunseling yang sesuai tidak mengurangkan pergantungan seseorang kepada Allah.
Apabila sesuatu ajaran menimbulkan kebimbangan, pihak berkuasa perlu meneliti apa yang sebenarnya diajar, disebarkan dan diamalkan.
Potongan video atau kenyataan yang tular boleh menjadi maklumat awal, tetapi penilaian yang adil memerlukan konteks dan bukti.
Dalam membincangkan tindakan undang-undang, masyarakat perlu memahami penilaian hukum terhadap sesuatu ajaran dan pembuktian kesalahan seseorang mempunyai fungsi berbeza.
Tindakan terhadap individu mesti berasaskan peruntukan terpakai serta bukti perbuatannya. Perbezaan ini penting supaya perlindungan akidah dilaksanakan dengan ketelitian dan keadilan.
Penjelasan kepada masyarakat pula hendaklah cukup terang untuk membantu mereka memahami perkara dipersoalkan.
Apabila istilah digunakan terlalu umum, orang ramai mungkin menyangka semua program motivasi atau pengurusan emosi membawa masalah sama.
Selain tindakan terhadap pihak menyebarkan penyelewengan, pengikut terbabit ajaran baharu muncul memerlukan perhatian.
Sebahagian mungkin menyertai kegiatan itu kerana keliru atau terlalu mempercayai pembimbing. Bimbingan, pemulihan dan sokongan keluarga boleh membantu mereka menilai semula pegangan tanpa merasa terasing.
Mencari ketenangan ialah usaha yang baik. Namun, usaha itu perlu disertai kesediaan untuk menyemak, bertanya dan menerima penjelasan berasaskan ilmu.
Bagi seorang Muslim, ketenangan dibina melalui hubungan dengan Allah, pelaksanaan tanggungjawab dan ikhtiar menghadapi masalah dengan cara yang dibenarkan.
Allah memberikan pedoman untuk manusia menenangkan hati iaitu dengan mengingati-Nya. Ini berpandukan Surah ar-Ra'd, ayat 28 bermaksud: "Iaitu orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram".
Ia tidak menjanjikan kehidupan tanpa ujian, tetapi membantu seseorang menghadapinya dengan pegangan yang lebih kukuh.
Masyarakat berhak memperoleh bantuan menghormati emosi dan menjaga kepercayaan mereka. Institusi agama, pendidik, keluarga serta pihak berkuasa mempunyai peranan untuk memastikan bantuan itu mudah dicapai.
Ketika hati sedang mencari tempat untuk berpaut, jangan terburu-buru menyerahkan seluruh kepercayaan kepada orang menjanjikan jalan paling mudah.
Ketenangan dicari seharusnya memelihara akidah, maruah dan kebebasan kita untuk berfikir serta bertanya. Paling penting umat Islam patut mengamalkan doa Nabi Ibrahim pada Surah asy-Syuara, ayat 80 bermaksud: "Dan apabila aku sakit, maka Dia yang menyembuhkan penyakitku".
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
© New Straits Times Press (M) Bhd
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Berita Harian) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsBerita Harian12:54
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Berita Harian
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.