
Cerita di sebalik kelir
Only social or community posts, or a single source.
What happened
KOTA BHARU: Bayang-bayang watak yang bergerak di sebalik kelir bukan sekadar menghidupkan cerita, sebaliknya membawa bersama khazanah seni, muzik, bahasa dan pemikiran masyarakat Melayu yang diwarisi turun-temurun. (Berita Harian, 11:58)
Read the reporting
1 report
Cerita di sebalik kelir
KOTA BHARU: Bayang-bayang watak yang bergerak di sebalik kelir bukan sekadar menghidupkan cerita, sebaliknya membawa bersama khazanah seni, muzik, bahasa dan pemikiran masyarakat Melayu yang diwarisi turun-temurun.
Namun, keunikan persembahan wayang kulit berdepan cabaran apabila peluang persembahan semakin terhad, pelapis baharu sukar dilahirkan dan minat generasi muda perlu terus dipupuk.
Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Mohd Aswawi Isa, melihat masa depan wayang kulit bergantung pada kesediaan masyarakat melihatnya sebagai khazanah budaya yang perlu dipelihara, bukan sekadar hiburan tradisional.
"Wayang kulit bukan sekadar hiburan. Persembahan ini menggabungkan seni muzik, seni ukiran, seni bahasa, penceritaan dan budaya masyarakat Melayu.
"Semua elemen itu menjadikan wayang kulit sebagai satu gedung budaya yang perlu dipelihara dan diperkasakan mengikut keperluan semasa," katanya.
Menurutnya, persepsi negatif yang menganggap wayang kulit tidak mempunyai masa depan, membuang masa atau tidak mampu menjamin kehidupan menyebabkan sebahagian penggiat tawar hati untuk meneruskan seni berkenaan.
Malah, tanggapan bahawa persembahan itu haram turut menjadi cabaran, sedangkan menurutnya, wayang kulit boleh dipersembahkan mengikut syarak selagi tidak mengandungi unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Kekurangan tok dalang
Keadaan itu diburukkan lagi dengan kekurangan tok dalang yang mampu mengolah cerita mengikut isu semasa, selain semakin sukarnya mendapatkan pemuzik dan pembuat alat muzik tradisional.
"Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti wayang kulit hanya tinggal sebagai rakaman digital di platform seperti YouTube," katanya.
Bagi memastikan warisan itu terus relevan, UMK mengambil pendekatan menggabungkan teknologi dengan seni tradisional, antaranya menggunakan mesin pemotong laser kawalan berangka komputer (CNC) bagi mempercepat penghasilan patung wayang kulit.
Jika sebelum ini satu set patung mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk disiapkan, penggunaan teknologi itu mampu memendekkan tempoh berkenaan kepada kira-kira seminggu tanpa mengubah reka bentuk asal.
Kecerdasan buatan (AI) turut dimanfaatkan untuk mendokumentasikan irama muzik tradisional serta menterjemahkan dialog daripada dialek Kelantan kepada bahasa Melayu standard dan bahasa lain.
Mohd Aswawi berkata, pembaharuan turut perlu dilakukan dalam penyampaian persembahan bagi menarik minat generasi muda, termasuk melalui media sosial, visual lebih menarik dan cerita yang dekat dengan kehidupan semasa.
"Kita boleh membawa pembaharuan, tetapi watak utama, struktur persembahan dan identiti wayang kulit mesti dikekalkan.
"Kalau semuanya diubah sehingga hilang identitinya, masyarakat tidak lagi mengenali bentuk asal wayang kulit itu sendiri," katanya.
Pandangan itu turut dikongsi Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Rohaniza Abdullah, yang menyifatkan perkembangan wayang kulit di negeri itu agak suram meskipun pelbagai usaha pemuliharaan dilaksanakan.
Menurutnya, JKKN melaksanakan pendekatan berteraskan pemuliharaan, pembangunan dan promosi melalui festival, persembahan, bengkel, kursus serta pendokumentasian teknik pembuatan patung dan persembahan tradisional.
Program perantisan berkonsepkan mentor-menti yang diperkenalkan sejak 2009 juga membantu melahirkan tok dalang, pemuzik dan pembuat patung dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, kerjasama dengan sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti turut diperluas bagi memberikan pendedahan kepada generasi muda serta menyediakan ruang kepada penggiat mengembangkan bakat.
Kekangan nyata
Hari ini masih ada anak muda, malah ada seluruh ahli keluarga terbabit dengan persembahan wayang kulit, misalnya Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu namun, bilangannya terhad.
Malah bagi penggiat sendiri, usaha memelihara warisan itu masih berdepan kekangan nyata.
Pengerusi Persatuan Wayang Kulit Pija Titir Mas, Mohammad Hafiza Che Ya atau lebih dikenali sebagai Pak Chu, berkata peluang mengadakan persembahan, khususnya di kampung, semakin berkurangan berbanding dahulu.
"Kalau dari segi penonton ataupun yang berminat, masih ramai lagi. Cuma cabarannya sekarang adalah untuk mendapatkan permit persembahan daripada pihak berkenaan. Memang lebih sukar berbanding dahulu," katanya.
Tambahnya, persembahan wayang kulit kini dilaksanakan mengikut garis panduan syariah, selain disesuaikan dengan isu semasa melalui dialog dan jalan cerita tanpa mengetepikan identiti asalnya.
Pak Chu berkata, hanya tiga tok dalang senior masih aktif di sekitar Kota Bharu, manakala tiga pelapis sedang menjalani latihan.
"Saya bimbang kalau tidak ada usaha berterusan, dalam tempoh beberapa tahun akan datang seni ini akan semakin mengecil walaupun mungkin tidak pupus sepenuhnya," katanya.
Hakikatnya, kelangsungan wayang kulit bukan terletak pada usaha satu pihak semata-mata. Sokongan masyarakat, ruang persembahan yang mencukupi, latihan berterusan dan kesediaan generasi muda mempelajari seni itu perlu bergerak seiring.
Selagi ada tok dalang yang mewariskan ilmu, institusi yang memperkukuh pemuliharaan dan masyarakat yang menghargai persembahannya, wayang kulit Kelantan berpeluang terus hidup sebagai warisan yang berkembang mengikut zaman tanpa kehilangan jati dirinya. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Berita Harian) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsBerita Harian11:58
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Berita Harian
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.