
Cerpen BH Ahad: Sejumlah catatan tentang kesakitan
Only social or community posts, or a single source.
What happened
Details are being gathered from the sources below.
Read the reporting
1 report
Cerpen BH Ahad: Sejumlah catatan tentang kesakitan
DIA duduk di kerusi ketiga dari pintu bilik saya.
T-shirt perang berlengan pendek. Tudung putih krim. Seluar jeans yang hujungnya sedikit berbulu. Kedua-dua tangan memeluk tubuh seperti selalu, seolah-olah penghawa dingin klinik terlalu sejuk untuknya seorang.
Saya mengenalinya sebelum sempat mengingat namanya.
Sudah hampir lima bulan dia tidak datang. Tentu bacaan gulanya kembali tinggi. Tentu ada luka baharu atau demam yang dibiarkan berhari-hari. Tentu dia akan tersengih apabila saya membebel nanti.
Saya membuka senarai pesakit menunggu dalam komputer.
Namanya tidak ada.
Saya menaip sekali lagi. Tiada. Mungkin dia belum mendaftar. Mungkin sekadar menunggu seseorang. Ketika mengangkat muka, seorang pesakit lain melintas di depan pintu. Selepas lelaki itu berlalu, kerusi ketiga sudah kosong.
Saya menjenguk ke ruang menunggu. Tiada kelibat t-shirt perang atau tudung putih krim. Pintu kaca di hujung koridor sedang tertutup perlahan, tetapi saya tidak pasti siapa yang baru melaluinya.
"Cari siapa, doktor?" tanya jururawat.
"Tak ada siapa."
Saya kembali ke meja. Di atas skrin, kursor masih statik pada ruang carian yang kosong.
⁕ ⁕ ⁕
Kali pertama Farah datang, dia membawa semua ubatnya dalam beg plastik pasar raya.
Metformin tanpa kotak. Satu papan gliclazide yang tinggal tiga biji. Sebotol insulin yang tidak lagi sejuk. Beberapa pil putih tidak berlabel bercampur dengan duit syiling dan resit runcit.
"Yang mana satu awak makan?"
Farah mengangkat bahu. Usianya dua puluh dua tahun, tetapi wajahnya kadang-kadang kelihatan jauh lebih tua. Tubuh tinggi, tegap, sedikit cengkung di pipi. Pada pergelangan tangan ada parut-parut kecil yang saya tidak pernah tanya.
"Kalau ingat, saya makan."
"Insulin?"
"Kalau ada peti ais."
"Rumah tak ada peti ais?"
Dia ketawa pendek. "Rumah pun kadang-kadang tak ada, doktor."
Itulah caranya bercerita. Fakta paling menyedihkan disampaikan seperti gurauan yang tidak perlu ditertawakan. Dia menumpang di rumah kawan, bilik saudara, asrama pekerja atau mana-mana lantai yang masih mempunyai ruang. Kadang-kadang di Kuala Terengganu. Kadang-kadang di Kuala Lumpur. Kadang-kadang namanya hilang daripada klinik kami selama beberapa bulan sebelum muncul semula dengan demam, jangkitan kulit atau gula yang terlalu tinggi untuk dibaca mesin glucometer.
"Awak perlu masuk wad."
"Malaslah, doktor. Nak cari kerja dulu."
"Kalau macam ini, awak boleh koma."
"Kalau koma dapat tidur lama sikit."
Dia tersengih. Saya tidak.
Kemudian saya membebel: tentang buah pinggang, mata, saraf, jantung, jangkitan, dan kematian. Farah menongkat dagu di atas meja, mendengar dengan tekun seperti pelajar paling baik di dalam kelas.
"Betul juga kata doktor, kan?" katanya apabila saya selesai.
Ketika itu saya menyangka dia sedang mempermainkan saya.
⁕ ⁕ ⁕
Farah bukan pesakit yang disukai sistem.
Dia tidak datang mengikut tarikh. Tidak mengambil ubat mengikut jadual. Nombor telefonnya bertukar-tukar. Surat rujukan ke klinik pakar hilang. Apabila dimasukkan ke wad, sebelum mencecah 24 jam, dia keluar atas risiko sendiri. Apabila pekerja sosial cuba mencarinya, alamat yang diberikan sudah tidak dihuni.
Setiap kali namanya muncul pada senarai pesakit menunggu, seseorang akan mengeluh.
"Dia lagi."
Saya juga pernah mengeluh.
Suatu petang Farah datang dengan bisul besar di belakang peha. Demamnya tinggi. Bacaan gula melebihi had mesin. Saya mengatur kemasukan ke hospital, tetapi ketika ambulans tiba, dia sudah tiada.
Saya menelefonnya tiga kali. Panggilan pertama tidak dijawab. Panggilan kedua dimatikan. Pada panggilan ketiga, dia menjawab dengan bunyi bas di belakang.
"Awak dekat mana?"
"Dalam perjalanan."
"Ke hospital?"
"Ke Kuala Lumpur."
Saya marah sungguh-sungguh. "Awak faham tak awak boleh mati? Ini bukan main-main. Semua orang dah uruskan untuk awak, tiba-tiba awak hilang."
Dia diam lama.
"Kalau saya masuk wad, saya hilang kerja."
"Kalau awak mati, kerja apa pun tak ada."
"Betul juga kata doktor, kan?"
Kali ini dia tidak ketawa.
Talian terputus. Saya meletakkan telefon lebih kuat daripada sepatutnya dan memberitahu diri sendiri bahawa seorang doktor tidak boleh membantu pesakit yang enggan membantu diri.
Ayat itu saya rasakan sangat berguna. Ia meletakkan kegagalan di tempat yang jauh daripada saya.
⁕ ⁕ ⁕
Beberapa bulan kemudian Farah muncul dengan luka kecil di tapak kaki.
"Terpijak kaca."
Luka itu sudah bernanah. Kulit di sekelilingnya merah dan garang. Saya membersihkannya sambil berleter tentang kasut, gula, dan antibiotik.
"Doktor suka marah saya."
"Sebab awak tak dengar cakap."
"Tak apa." Dia memandang tangan saya mencuci luka di kakinya. "Orang marah sebab orang peduli."
Saya berhenti seketika.
"Siapa cakap?"
"Tak ada siapa." Dia tersenyum. "Sebab itu saya tahu."
Selesai rawatan, dia tidak terus bangun. Pesakit di luar sudah ramai. Saya hampir menyuruhnya keluar apabila dia mengeluarkan sekeping borang permohonan kerja yang renyuk.
"Doktor, boleh tulis saya sihat?"
Saya membaca borang itu. Pekerjaan : pembantu kedai makan. Pemeriksaan kesihatan diperlukan.
"Saya tak boleh tulis awak sihat kalau gula tak terkawal dan luka masih dijangkiti. Bukan hari ini."
Wajahnya berubah sedikit. Hanya sedikit.
"Kalau tak dapat kerja, saya kena keluar rumah kawan minggu depan."
"Rawat dulu. Selepas baik kita nilai semula. Tiga hari makan antibiotik," saya cuba menawar, mengangkat tiga jari. Sekurang-kurangnya saya ada taruhan untuk memastikan dia patuh kepada rawatan.
Dia mengangguk dan melipat borang itu menjadi lebih kecil.
Sebelum keluar, Farah berpaling di pintu. "Kalau saya datang minggu depan, doktor ada?"
"Ada."
"Jangan cuti."
"Awak datang dulu."
Dia ketawa pendek. Itulah kali terakhir saya bercakap dengannya.
⁕ ⁕ ⁕
Pagi selepas melihat kelibatnya di ruang menunggu, satu mesej masuk dalam kumpulan telefon kakitangan klinik.
Nama Farah muncul. Semua petugas klinik kenal dia. Mesej itu betul-betul menghentak kepala saya. Farah meninggal dunia. Di ICU hospital minggu lepas. Sepsis. Waris belum dapat dikesan.
Saya membaca mesej itu beberapa kali.
Meninggal minggu lepas.
Tapi semalam saya lihat dia duduk di kerusi ketiga dari pintu. Mungkin rupa hampir sama?
Saya membuka rekodnya. Lawatan terakhir lima bulan lalu. Luka di tapak kaki. Antibiotik diberi. Temu janji seminggu kemudian - tidak hadir.
Pada bahagian nota, saya sendiri menulis: Pesakit dinasihati tentang kepentingan kepatuhan rawatan. Risiko dan komplikasi telah diterangkan. Pesakit memahami.
Ayat-ayat itu kemas. Profesional. Lengkap. Templat.
Tidak tercatat bahawa dia akan kehilangan tempat tinggal jika tidak mendapat pekerjaan. Tidak tercatat bahawa insulin memerlukan peti ais sedangkan rumahnya berubah-ubah. Tidak tercatat bahawa dia menganggap leteran sebagai satu bentuk kasih sayang.
"Semalam kerusi situ rosak. Sudah dua hari kami letak dekat stor," ujar jururawat apabila saya bertanyakan jika dia ternampak Farah di situ.
Saya menjenguk ke ruang menunggu.
Kerusi ketiga dari pintu memang tidak ada. Di tempatnya cuma ruang kosong di antara dua kerusi berkusyen biru.
Mungkin saya tersalah mengingat kedudukannya. Mungkin kerusi itu dialihkan selepas saya melihatnya. Mungkin perempuan bertudung putih semalam bukan Farah. Pakaian yang sama tidak membuktikan apa-apa; dunia penuh dengan t-shirt perang dan tudung berwarna krim.
Namun saya masih dapat melihat cara dia memeluk tubuh. Cara kepalanya sedikit senget ketika menunggu giliran. Botol mineral kecil yang sentiasa di tangan. Cara dia duduk tanpa mendaftar, seolah-olah tidak datang untuk mendapatkan rawatan.
⁕ ⁕ ⁕
Petang itu saya pergi ke stor.
Kerusi yang rosak disandarkan pada dinding bersama kotak fail lama dan mesin tekanan darah yang tidak lagi berfungsi. Skru pada salah satu kakinya tertanggal.
Saya tidak tahu mengapa saya datang mencarinya.
Pada tempat duduknya ada sekeping kertas kecil. Saya mengambil dengan jantung yang berdegup lebih gopoh. Hanya nombor giliran pesakit lain - B117 - bertarikh tiga hari lalu.
Saya ketawa sendirian. Lega dan malu pada masa yang sama.
Sebelum keluar, saya duduk sebentar di kerusi itu. Kakinya bergoyang dan mengeluarkan bunyi kecil.
Betul juga kata doktor, kan?
Suara itu muncul begitu jelas sehingga saya menoleh. Stor kosong. Di luar, nombor giliran dipanggil melalui pembesar suara. Seseorang menolak troli. Seseorang batuk. Kehidupan klinik berterusan tanpa mengetahui seorang pesakit telah hilang daripadanya.
Saya cuba mengingati semua yang telah saya lakukan untuk Farah. Ubat. Rujukan. Nasihat. Panggilan telefon. Balutan luka. Semuanya tercatat.
Kemudian saya cuba mengingati perkara yang tidak saya lakukan.
Saya tidak bertanya di mana dia menyimpan insulin apabila tiada rumah. Tidak menghubungkan dia semula dengan pekerja sosial selepas alamatnya berubah. Tidak bertanya tentang parut di pergelangan tangannya. Tidak memastikan dia mempunyai tambang untuk ke hospital atau cukup wang untuk sarapan. Saya telah merawat gula, luka, dan demamnya; tetapi hidup yang membuat semua penyakit itu sukar dirawat saya letakkan di luar bidang tugas.
Adakah itu kecuaian? Atau batas biasa seorang doktor di klinik yang sesak? Saya tidak tahu. Selepas kematian seseorang, semua perkara yang tidak sempat dilakukan kelihatan seperti kesalahan.
Saya bangun. Di bawah kerusi ada kesan lembap berbentuk tapak kasut. Mungkin daripada mop petugas pembersihan. Mungkin sudah lama di situ.
Saya tidak menyentuhnya.
⁕ ⁕ ⁕
Keesokan paginya, kerusi itu sudah kembali ke ruang menunggu setelah dibaiki.
Pesakit pertama yang duduk di situ ialah seorang perempuan muda dengan anak kecil. Kemudian seorang lelaki tua. Kemudian seorang pelajar sekolah yang demam. Menjelang tengah hari, puluhan tubuh telah mengisi dan meninggalkannya.
Sekali-sekala saya mengangkat muka apabila terlihat tudung putih atau t-shirt perang. Tidak pernah Farah. Mungkin saya cuma melihat orang lain lalu membentuk wajah Farah daripada rasa bersalah sendiri.
Mungkin dia yang sepanjang hidupnya tidak mempunyai tempat tetap telah kembali untuk duduk sebentar di satu-satunya ruang yang masih mengingati namanya.
Di luar, kerusi ketiga dari pintu kembali kosong.
@ Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy dikenali juga sebagai Fahd Razy bertugas sebagai doktor perubatan dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nota: Pengarang kreatif dipelawa menghantar cerpen dan puisi ke halaman Sanggar Sastera, Perspektif, BH Ahad melalui e-mel bhsastera@bh.com.my. Sertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar serta nombor akaun. Cerpen mestilah antara 1500-2000 patah perkataan dan tiada bayaran untuk karya tanpa maklumat lengkap.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Why it is new
Not enough measurements yet to explain the score. Explanations are generated only from stored data.
Attention graph
Not enough history in this window yet. The engine measures every five minutes.
Timeline
No timeline yet.
Where it started
Unknown.
How it spread
Not enough data to show how this spread.
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Nothing independently established yet.
What we don’t know
- No open questions flagged by the rules.
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.