
Berhabis RM200,000, tanda cinta Ara Johari buat peminat
Reported by two or more established outlets, or an official source.
What happened
PERPISAHAN tidak semestinya berakar daripada pengkhianatan atau kehadiran orang ketiga. (Kosmo!, 09:00)
Read the reporting
1 report
Berhabis RM200,000, tanda cinta Ara Johari buat peminat
PERPISAHAN tidak semestinya berakar daripada pengkhianatan atau kehadiran orang ketiga.
Adakalanya, dua hati terpaksa mengalah kepada takdir meskipun masih menyimpan rasa, meninggalkan sebuah kisah cinta hampir sempurna tanpa penghujung bersama.
Mengangkat kisah penuh makna itu, penyanyi Ara Johari kembali menyentuh emosi pendengar menerusi single terbaharu berjudul Kisah Yang Hampir Sempurna — sebuah balada sarat penghayatan meneruskan identitinya dalam genre galau.
Pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari itu mengakui lagu ciptaan komposer tempatan, Aepul Roza dan Daus Drama Band itu sudah berada dalam simpanannya lebih setahun sebelum dipilih untuk menemui pendengar pada waktu dirasakan paling tepat.
“Sudah lebih setahun Aepul hantar lagu ini kepada saya. Saya menunggu masa sesuai untuk melancarkannya dan sekarang saya merasakan inilah waktu terbaik.
“Saya rasa penceritaan lagu ini tidak klise kerana tidak semua perpisahan perlu berakhir dengan pergaduhan atau kemunculan orang ketiga. Ada hubungan terpaksa dilepaskan tanpa perlu mencari alasan untuk menyalahkan sesiapa,” katanya kepada HibGlam.
Mengakui ada bahagian dalam lagu itu mempunyai kaitan dengan pengalaman peribadinya, Ara bagaimanapun tidak menjadikan kisah sendiri sebagai satu-satunya sumber inspirasi, namun turut meminjam cerita orang sekeliling bagi memperkayakan penghayatan terhadap karya berkenaan.
“Kalau saya kata lagu ini langsung tidak berkait dengan kehidupan sendiri, itu tidak benar. Ada perkara yang boleh saya kaitkan dengan pengalaman peribadi, tetapi saya juga mengambil inspirasi daripada kisah orang lain.
“Ada pasangan bercinta berlainan agama sehingga sukar disatukan, ada tidak mendapat restu ibu bapa dan ada juga terpaksa memilih kerjaya masing-masing sehingga hubungan mereka tidak dapat diteruskan.
“Bagi saya, semua kisah itu mempunyai kesedihan tersendiri. Kadangkala dua orang masih menyayangi satu sama lain, tetapi keadaan tidak mengizinkan mereka untuk bersama. Itulah antara mesej yang saya mahu sampaikan menerusi lagu ini,” ujarnya.
MENGENDALIKAN showcase secara sendiri memberikan pengalaman baharu buat Ara, terutama apabila perlu menguruskan kewangan, mencari penaja dan memastikan setiap perbelanjaan selari dengan mutu persembahan dirancang
Sedekad berkarya
Di sebalik pelancaran single terbaharu, tahun 2026 turut membawa makna besar buat wanita berusia 29 tahun itu apabila genap sedekad dia mengemudi perjalanan dalam industri muzik.
Bagi mengabadikan detik istimewa itu, penyanyi berkenaan bakal mengadakan showcase berjudul Sedekad BersuAra Johari pada 20 November nanti di The Campus Ampang.
Showcase berkenaan dianjurkan dalam suasana intim dengan kapasiti sekitar 500 penonton sahaja bagi memastikan peminat dapat menikmati persembahan dengan lebih dekat tanpa terhalang pandangan, sekali gus mewujudkan kenangan bersama dalam suasana lebih mesra.
“Sebenarnya, ini showcase besar pertama saya kendalikan sendiri tanpa label. Saya bergerak secara solo dan mahu mencipta sesuatu lebih intim bersama peminat.
“Kalau diberikan rezeki untuk mengadakan konsert besar pada masa akan datang, insya-Allah saya akan usahakannya. Namun, buat masa ini, saya mahu peminat merasai pengalaman lebih dekat bersama saya,” jelasnya.
Pemilihan Chaan sebagai pengarah muzik atau music director (MD) dibuat selepas Ara meneliti aspek kualiti bunyi dan susunan muzik, dua elemen penting bagi memastikan persembahan mencapai standard diharapkan.
“Saya memang sangat menitikberatkan kualiti muzik dan bunyi. Sebab itu saya memilih Chaan sebagai pengarah muzik untuk showcase ini. Saya mahu memastikan setiap aspek persembahan diberikan perhatian sewajarnya.
“Persiapan sebenarnya sudah lama bermula dan sekarang kira-kira 60 peratus sudah selesai. Tinggal saya dengan Chaan untuk memulakan sesi persediaan bersama. Kami mahu memastikan semuanya tersusun sebelum tiba hari persembahan,” tambahnya.
Mengendalikan showcase secara sendiri memberikan pengalaman baharu buat finalis Akademi Fantasia 2016 (AF2016) itu terutama apabila perlu menguruskan kewangan, mencari penaja dan memastikan setiap perbelanjaan selari dengan mutu persembahan dirancang.
“Bajet yang kami keluarkan memang agak besar untuk sebuah showcase, walaupun tidak sebesar konsert. Saya mahu memberikan pengalaman hebat kepada peminat, terutama dari segi kualiti bunyi dan produksi.
“Mencari penaja juga bukan mudah kerana ada pihak sudah memperuntukkan bajet mereka untuk perkara lain. Bagaimanapun, ada beberapa pihak menunjukkan minat terhadap showcase ini dan kami masih menyusun senarai penaja.
“Saya sendiri belum mengira jumlah tepat wang dikeluarkan, tetapi anggaran keseluruhan perbelanjaan sekitar RM200,000,” luahnya.
KENDATIPUN ulang tahun ke-10 pembabitannya dalam industri jatuh pada Oktober, Ara memilih untuk menganjakkan showcase itu ke November kerana bulan berkenaan sudah dipenuhi pelbagai perancangan, termasuk pelancaran lagu dan aktiviti promosi.
Album masih menjadi impian
Selain showcase dan single baharu, hasrat menghasilkan album penuh turut berada dalam senarai perancangan, namun proses mencari lagu berkualiti serta sesuai dengan identiti muziknya menjadi cabaran utama sehingga perancangan itu masih belum direalisasikan.
“Saya memang ada perancangan menghasilkan album dan sudah memikirkannya sejak dua tahun lalu. Namun, mencari lagu sesuai serta berkualiti untuk dimuatkan dalam sebuah album bukan perkara mudah.
“Saya belum menemui lagu-lagu benar-benar memenuhi apa yang saya mahukan. Insya-Allah, saya memang sangat menginginkan album kerana saya percaya setiap artis mempunyai impian untuk menghasilkan karya dalam bentuk album penuh.
“Saya terbuka menerima lagu daripada komposer baharu atau lama, asalkan karya itu sedap didengar dan sesuai dengan identiti saya. Saya mahu menghasilkan album dengan lagu-lagu berkualiti, bukan sekadar mengumpulkan karya untuk memenuhi jumlah tertentu,” tuturnya.
Dalam pada itu, Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) itu tidak menafikan faktor kemampuan vokal turut mempengaruhi pemilihan lagu-lagu galau sejak kebelakangan ini, terutama selepas beberapa kali dijangkiti Covid-19 dan influenza.
“Sejujurnya, faktor kemampuan vokal turut memainkan peranan. Apabila usia semakin meningkat, kemampuan suara kita tidak semestinya kekal sama seperti ketika remaja.
“Selepas dijangkiti Covid-19 lima kali dan influenza dua kali, kemampuan vokal saya benar-benar terjejas sehingga terpaksa menurunkan nada nyanyian sebanyak satu key berbanding dahulu,” kongsinya.
Lebih membimbangkan, proses pemulihan suara setiap kali mengalami kehilangan suara mengambil masa panjang, malah boleh berlarutan sehingga tiga atau empat bulan sebelum kembali seperti biasa.
“Kalau saya kehilangan suara, proses pemulihannya memang mengambil masa lama. Kadangkala sehingga tiga atau empat bulan saya tidak mempunyai suara seperti biasa.
“Jadi, saya mula memikirkan kemampuan vokal untuk jangka masa panjang.
Contohnya, lagu Bunga mempunyai nada sangat tinggi. Saya sendiri tidak tahu sama ada 20 tahun lagi saya masih mampu menyanyikannya dengan nada asal,” tutupnya. – KOSMO! ONLINE
The post Berhabis RM200,000, tanda cinta Ara Johari buat peminat appeared first on Kosmo Online .
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Kosmo!) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsKosmo!09:00
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Kosmo!
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (2)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.