
Pesanan bekas datuk bandar jadi azimat Dr. Isabella
Only social or community posts, or a single source.
What happened
Bagi warga kota, Orkestra Kuala Lumpur bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukanlah asing. (Utusan Malaysia, 08:00)
Read the reporting
1 report
Pesanan bekas datuk bandar jadi azimat Dr. Isabella
Bagi warga kota, Orkestra Kuala Lumpur bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukanlah asing.
Irama orkestra mengiringi lagu-lagu yang dinyanyikan penyanyi terkenal, sentiasa ditunggu-tunggu setiap kali menjelang sambutan tahun baharu atau ambang merdeka.
Namun kini, di tengah kepesatan Kuala Lumpur dan kepelbagaian genre muzik, Orkestra Kuala Lumpur yang bakal menginjak usia 40 tahun pada 2028 berdepan cabaran lebih besar daripada sekadar nota dan skor muzik dalam memastikan denyut iramanya terus didengari.
Bagi Ketua Muzik DBKL, Dr. Isabella Pek, memastikan orkestra itu kekal relevan bukan sekadar menghasilkan persembahan bermutu, sebaliknya menuntut keberanian untuk memahami selera khalayak baharu, mendekati generasi muda, dalam masa sama memelihara nilai serta identiti muzik orkestra.
Di situlah cabaran sebenar bermula iaitu bagaimana sebuah institusi muzik yang menjadi sebahagian daripada legasi Kuala Lumpur, berakar pada tradisi, terus hidup, berkembang dan kekal mendapat tempat dalam denyut kota serta landskap muzik moden.
“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saya adalah untuk merakyatkan muzik, iaitu mendekatkannya kepada masyarakat dan memastikan ia dapat dinikmati oleh semua lapisan, bukan sahaja golongan pemuzik profesional
“Saya mahu memberi perhatian kepada tiga aspek muzik.
“Muzik profesional menjadi antara sasaran utama untuk dimajukan, manakala komuniti dan amatur pula akan terus disokong serta dibangunkan,” katanya kepada Seri.
Selain program utama seperti Festival Orkestra Kuala Lumpur dan Orkestra Remaja yang masing-masing sudah memasuki tahun ketiga penganjuran, Dr. Isabella berkata, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi menarik minat masyarakat daripada pelbagai lapisan dan peringkat usia.
Katanya, Orkestra Kuala Lumpur tetap berpegang pada inspirasi bekas Datuk Bandar, Tan Sri Elyas Omar, yang mahu memastikan warga kota, termasuk golongan berpendapatan rendah, berpeluang menikmati persembahan orkestra selain menyaksikan persembahan selebriti dan artis tanah air.
“Sehingga hari ini, Orkestra Kuala Lumpur masih memberi tumpuan kepada lagu-lagu Malaysia. Ramai pengunjung dari luar negara bertanya sama ada kami tidak memainkan karya klasik seperti Beethoven dan Mozart.
“Kami boleh sahaja memainkan karya berkenaan, tetapi tujuan penubuhan orkestra adalah untuk mendekatkan muzik kepada warga kota sebagai penonton.
“Kami biasanya mengadakan persembahan di Dataran Merdeka sempena sambutan tertentu seperti ambang 31 Ogos dan tahun baharu,” katanya.
Orkestra DBKL ditubuhkan pada 1988 dan Datuk Johari Salleh dilantik sebagai Pengarahnya di bawah kepemimpinan Tan Sri Elyas Omar.
Konsert pertama berlangsung pada Januari 1989 dan pada 2028, orkestra itu bakal menyambut ulang tahun ke-40 penubuhannya.
Dr. Isabella melahirkan rasa syukur kerana sehingga kini, Orkestra Kuala Lumpur masih bertahan dan terus mengadakan persembahan untuk khalayak awam tanpa mengenakan bayaran.
Menurutnya, orkestra itu kini dianggotai 89 pemuzik di bawah skim bakat berstatus kontrak.
Bahagikan orkestra ikut acara
Bagi membolehkan program yang dijalankan terus relevan selaras dengan pembangunan bandar, Dr. Isabella menyusun strategi dan pelbagai program dengan lebih kreatif.
Katanya, mereka mempunyai beberapa jenis kumpulan muzik dengan saiz dan susunan ahli berbeza supaya lebih fleksibel mengikut keperluan persembahan.
“Antaranya ialah Orkes Melayu, iaitu kumpulan muzik yang mengetengahkan lagu-lagu Melayu, manakala kumpulan Quintet pula terdiri daripada lima orang pemuzik.
“String quartet pula dianggotai empat pemuzik yang memainkan alat muzik bertali,” katanya.
Menurut Dr. Isabella, terdapat beberapa kumpulan lain seperti Trio, Ensemble Kecil dan Big Band, menjadikan keseluruhannya sekitar lima hingga enam kumpulan dengan kombinasi pemuzik berbeza.
Katanya, kepelbagaian itu membolehkan orkestra memilih kumpulan yang bersesuaian mengikut jenis acara, keperluan muzik, skala persembahan dan bajet.
Selaras dengan pembangunan bandar, orkestra turut mendekati golongan dewasa dan warga emas menerusi pelbagai program, termasuk penubuhan Koir Warga Emas.
Muzik tradisional, animasi tarik orang muda
Bagi menarik minat golongan muda, Orkestra Kuala Lumpur juga menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), khususnya bahagian berkaitan kandungan digital membabitkan bidang seperti animasi, kartun dan permainan video.
Ia bertujuan mengetengahkan harta intelek ( IP) kandungan digital Malaysia seperti animasi, kartun dan permainan video melalui muzik dan konsert.
Contohnya orkestra muzik untuk Upin Ipin, Ejen Ali dan Papa Zola yang diminati orang muda.
Dr. Isabella berkata, sebelum ini, peminat permainan video atau kartun hanya menikmati kandungan berkenaan melalui permainan atau tontonan.
Justeru, pihaknya memperkenalkan elemen muzik orkestra bagi memberikan pengalaman yang berbeza kepada mereka.
“Selama ini, orang mengenali permainan video atau kartun hanya melalui permainan dan tontonan.
“Kami menggunakan skrin diod pemancar cahaya (LED) untuk menayangkan visual atau jalan cerita, sementara orkestra memainkan muzik secara langsung.
“Jadi, mereka yang sebelum ini hanya bermain permainan video atau menonton kartun, akhirnya datang ke konsert. Inilah yang kami mahu, iaitu menarik khalayak baharu yang sebelum ini tidak berminat dengan orkestra,” katanya.
Dr. Isabella berkata, dua tahun lalu, mereka juga mengetengahkan seni pantai timur dari Kelantan seperti dikir barat dan wayang kulit yang menggabungkan seni muzik tradisional dengan orkestra.
Katanya, gabungan lagu, muzik dan elemen persembahan lain menjadikan dikir barat dan wayang kulit lebih menarik.
Program itu turut membabitkan pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)yang berminat meneroka eksperimen seni, selain mendapat pujian daripada tokoh seperti Ramli Ibrahim dan Marina Mahathir.
“Kami juga baru memulakan persembahan secara percuma di hospital kanak-kanak di Cheras bagi membantu pesakit yang berdepan penyakit kronik seperti kanser melupakan seketika beban yang ditanggung.
“Selain itu, kami menjalankan program bermain ukulele untuk kanak-kanak di Perpustakaan Negara Kuala Lumpur setiap Sabtu.
“Pada awalnya ia sekadar aktiviti santai, tetapi sambutan menggalakkan menjadikannya program tetap yang turut memberi penekanan kepada pembelajaran,” katanya.
Pihaknya kini sedang berbincang untuk memperluas Festival Orkestra Kuala Lumpur tahun depan menerusi kerjasama dengan pihak korporat dan pelbagai lapisan komuniti.
Terbaharu, pihaknya bekerjasama dengan CIMB yang menyumbangkan dana RM5 juta untuk tempoh tiga tahun.
Malah, institusi kewangan itu turut menggerakkan rangkaian organisasinya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aktiviti Orkestra Kuala Lumpur.
Organisasi kompleks
Dr. Isabella berkata, menguruskan sesebuah orkestra bukan tugas mudah kerana membabitkan ramai penggiat seni yang berbeza cara berfikir dan pandangan.
“Kami memang selalu berdebat, tetapi sejujurnya saya suka melihat mereka mempersoalkan sesuatu isu, mencabar pendapat antara satu sama lain dan berani bersuara.
“Bagi saya, itu menunjukkan mereka berfikir dan bukan sekadar mengikut apa yang disuruh.
“Saya juga menggalakkan mereka mengambil peranan sebagai pemimpin.
“Ini penting supaya semua orang berani mengambil tanggungjawab, memainkan peranan dan menunjukkan inisiatif dalam bidang atau tugas yang dilakukan,” katanya.
Menurutnya, perbezaan fizikal bukan penghalang wanita untuk memimpin dalam bidang muzik kerana kepimpinan lebih bergantung kepada kemahiran, ilmu, pengalaman dan kebolehan mengurus.
“Sejak menjadi pengarah di sini, saya melihat masih ramai wanita yang kurang yakin untuk mengambil peranan sebagai pemimpin.
“Saya menggalakkan mereka tampil ke hadapan dan kini beberapa pemimpin wanita sudah berani mengambil tanggungjawab lebih besar, bukan sekadar menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Keluarga beri sokongan
Dr. Isabella berkata, pembabitannya dalam muzik pada asalnya dibantah oleh bapa yang menganggap bidang itu tidak boleh ‘memberinya makan’.
“Namun, kerana minat, saya tetap ke Amerika Syarikat (AS) dan bersyukur ibu bapa tetap menyokong dan sanggup ‘menghadiahkan’ saya peluang ke sana demi memenuhi cita-cita menjadi pemuzik profesional.
“Sebelum itu, saya sering berjumpa rakan yang mengajar muzik dan belajar bermain piano dengannya.
“Selepas tamat pengajian, saya pulang ke tanah air dan bekerja di Angkasapuri selama 15 tahun, sebelum mengajar di Aswara selama 12 tahun dan seterusnya menyertai DBKL.
“Sepanjang kerjaya, saya memang berkhidmat dalam sektor kerajaan,” katanya.
Dr. Isabella kemudian melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya kerana mahu memahami cara berkomunikasi dengan ketua serta mendalami ilmu ekonomi.
Tempoh lima tahun diambil untuk menamatkannya berbanding kebiasaannya satu hingga dua tahun.
“Bukan kerana tidak mampu tetapi kerana sibuk bekerja sebagai pensyarah muzik,” katanya.
Di usia 40 tahun, Dr. Isabella menerima Hadiah Latihan Akademik Aswara untuk melanjutkan pengajian ijazah doktor falsafah di United Kingdom.
The post Pesanan bekas datuk bandar jadi azimat Dr. Isabella appeared first on Utusan Malaysia .
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Utusan Malaysia) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsUtusan Malaysia08:00
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Utusan Malaysia
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.