
Seni grafiti indahkan tembok penjara
Only social or community posts, or a single source.
What happened
Tembok penjara memisahkan banduan daripada kehidupan di luar, termasuk insan tersayang. (Utusan Malaysia, 10:00)
Read the reporting
1 report
Seni grafiti indahkan tembok penjara
Tembok penjara memisahkan banduan daripada kehidupan di luar, termasuk insan tersayang.
Dalam ruang yang terbatas itu, contengan pada dinding adakalanya menjadi medium untuk meluahkan perasaan yang terpendam.
Di sebalik setiap coretan, tersimpan kisah kerinduan, penyesalan dan pelbagai emosi yang dilalui sepanjang menjalani hukuman.
Tembok yang menyimpan pelbagai kisah itu kini menjadi kanvas kepada pelukis grafiti untuk menzahirkan kreativiti masing-masing.
Usaha itu sekali gus memberikan wajah baharu kepada KotaJail yang terletak di Johor Bahru.
Menerusi festival Graff For Nation 2.0 (GFN 2.0), seramai 24 pelukis dan penulis grafiti dari enam negara mengambil bahagian untuk menghiasi bekas Penjara Ayer Molek berusia 143 tahun itu dengan karya masing-masing.
Sentuhan warna, tulisan dan corak itu bukan sahaja mengindahkan suasana, malah menambahkan daya tarikan destinasi bersejarah berkenaan.
Bagi penulis grafiti, Amirul Shah Mumfahir, 33, atau mesra disapa Asmoe, penghasilan karya di KotaJail memberikan pengalaman berbeza berbanding lokasi lain yang pernah diterokainya.
Hal itu kerana, suasana penjara dekat dengan dunia grafiti jalanan yang sering berdepan tanggapan negatif akibat kegiatan menconteng tanpa kebenaran.
“Perjalanan kami bermula dengan seni grafiti jalanan yang turut dikaitkan dengan vandalisme.
“Jadi, kami sudah biasa berdepan dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika menghasilkan karya di ruang awam.
“Sebab itu, suasana penjara ini terasa dekat dengan latar belakang kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sepanjang hampir 30 tahun menceburi bidang ini, buat pertama kalinya Amirul Shah menghasilkan karya di penjara.
Sebelum ini, karyanya pernah menghiasi pelbagai ruang awam dan komersial, termasuk premis perniagaan serta bangunan terbiar.
Selain itu, dia yang bekerja sebagai arkitek turut menghasilkan grafiti pada permukaan kereta dan kasut berjenama Adidas.
Karya siap dalam sehari
Karya sentuhan Amirul Shah menjadi antara yang terawal dilihat pengunjung pada dinding sepanjang 110 meter itu.
Ia memaparkan logo GFN yang turut digunakan pada edisi sulung program berkenaan di Pulau Langkawi pada 2024.
Katanya, keseluruhan proses menyiapkan karya itu mengambil masa sehari, termasuk lakaran kira-kira 30 minit sebelum kerja menyembur cat dimulakan.
“Rekaan kali ini menggunakan warna yang berbeza berbanding edisi lalu.
“Warnanya ialah merah, biru dan putih yang diinspirasikan daripada bendera Johor,” katanya.
Dalam festival tiga hari itu, karya grafiti dihasilkan secara langsung berdasarkan tema ‘Selamat Datang ke Malaysia’ atau ‘Greeting Malaysia’.
Pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri proses penghasilan, kepelbagaian gaya dan pendekatan setiap pelukis.
Daulat Tuanku
Penyertaan kali ini merupakan yang kedua buat Muhammad Fakhrul Akmal Shamsurrijal, 39, dalam GFN 2.0.
Anak jati Ayer Molek itu memilih ungkapan ‘Daulat Tuanku’ sebagai subjek utama karya grafitinya.
Dia turut mengekalkan gaya tulisan artistik yang menjadi identiti dirinya, selama ini.
“Peluang menghasilkan karya di dalam penjara ini merupakan satu penghargaan buat kami kerana setahu saya, ini kali pertama seni grafiti dibawa ke penjara di Malaysia.
“Sebelum ini, tulisan pada dinding penjara lebih sinonim dengan contengan yang dilakukan oleh banduan sendiri,” katanya.
Muhammad Fakhrul Akmal turut diberi tanggungjawab membuat persediaan dinding.
Ini termasuk membersihkan keseluruhan permukaan sebelum mengecatnya dengan warna biru.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan karya grafiti yang dihasilkan dapat bertahan lebih lama.
“Kebanyakan yang terlibat merupakan pelukis ternama, jadi kami mahu memastikan kualiti karya mereka terpelihara.
“Dalam masa sama, hasil seni ini dapat dinikmati untuk tempoh yang lama,” katanya.
Teruja ‘conteng’ di Malaysia
Selain Malaysia, acara ini turut disertai penulis dan pelukis grafiti dari Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Itali.
Antaranya ialah Luca Caputo, 46, yang popular dengan nama Zeus40.
Artis dari Naples, Itali itu mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam seni grafiti dan kali pertama menghasilkan karya di Malaysia menerusi program berkenaan.
Katanya, cuaca panas menjadi antara cabaran ketika menghasilkan karya yang memaparkan ungkapan namanya.
“Saya memilih nama Zues untuk diabadikan di dinding KotaJail memandangkan ini merupakan kunjungan pertama ke Malaysia.
“Walaupun keadaan panas dan berjerebu, tetapi tidak menghalang saya untuk menghasilkan karya yang terbaik,” katanya.
Manfaatkan ruang terbiar
GFN 2.0 mengangkat konsep Spatial Creative Zone bagi memanfaatkan ruang terbiar dan premis lama melalui pendekatan yang kreatif.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, langkah itu sekali gus dapat mewujudkan ruang seni komuniti yang lebih dinamik.
Dalam masa sama, ia berpotensi menarik kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa.
“Menerusi pendekatan ini, KotaJail diketengahkan sebagai ruang yang menghimpunkan grafiti dengan pelbagai kegiatan seni dan budaya urban untuk dinikmati masyarakat.
“Penganjurannya menjadi ruang pertemuan antara artis tempatan dan antarabangsa untuk berkarya, bertukar idea, berkongsi kepakaran serta memperluas jaringan dalam bidang seni grafiti,” katanya.
GFN dianjurkan oleh Balai Seni Negara dengan kerjasama KotaJail, Tourism Malaysia, Tourism Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Pengisian lain dalam acara ini ialah sesi wacana, ruang pasaran kreatif berkonsepkan kedai pop-up serta bengkel seni kepada kanak-kanak dan remaja.
Program itu turut menggabungkan designer toys dengan elemen sukan ekstrem seperti papan selaju dan basikal BMX.
The post Seni grafiti indahkan tembok penjara appeared first on Utusan Malaysia .
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Utusan Malaysia) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsUtusan Malaysia10:00
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Utusan Malaysia
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.