
Terima kasih Indonesia!
Only social or community posts, or a single source.
What happened
Terima kasih Indonesia! (Harian Metro, 06:05)
Read the reporting
1 report
Terima kasih Indonesia!
rama@mediaprima.com.my
"SELAGI Jakarta tidak dilanda jerebu tebal yang melemaskan macam Kuala Lumpur, pemerintah Indonesia tidak akan ambil serius isu alam sekitar ini."
Kata-kata Jege Buddhayama, sahabat saya yang menetap di Nusa Dua, Bali, ketika saya menghubunginya, baru-baru ini cukup sinis untuk menggambarkan betapa lamanya masalah jerebu rentas sempadan membelenggu rantau ini tanpa penyelesaian yang benar-benar tuntas.
Menurut Jege, kualiti udara di Denpasar, ibu negeri Bali, tidak seburuk Kuala Lumpur. Masalah yang lebih meresahkan penduduk dan pelancong di Pulau Dewata ketika ini ialah kekurangan bahan api di beberapa kawasan tumpuan pelancongan seperti Uluwatu dan Ubud.
"Saya terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bahan api," katanya.
Barangkali, di situlah letaknya ironi yang cukup menarik. Ketika sebahagian penduduk Malaysia terpaksa berkurung akibat udara yang tercemar, penduduk di sesetengah kawasan Bali pula berdepan masalah mendapatkan bahan api.
Masing-masing mempunyai masalah tersendiri, tetapi bagi rakyat Malaysia ada satu persoalan yang terus berulang: sampai bila kita perlu menghirup asap beracun yang 'dieksport' oleh Indonesia saban tahun sejak lebih tiga dekad lalu?
Sudah hampir dua bulan saya lemas dalam udara tengik di ibu kota sejak jerebu mula melanda Malaysia pada awal Ogos lalu. Saya rindu melihat langit biru Kuala Lumpur.
Udara segar yang selama ini dinikmati secara percuma kini terasa seperti barangan mewah yang perlu ditunggu tanpa kepastian bila akan diperoleh semula.
Lebih mengecewakan, saya bersama beberapa sahabat terpaksa membatalkan penyertaan dalam Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2026 yang dijadual berlangsung pada awal pagi 4 Oktober lalu selepas mempertimbangkan risiko terhadap kesihatan.
Bayangkan, kita berlatih berbulan-bulan, mengatur jadual larian, menjaga pemakanan dan membina ketahanan fizikal. Namun, apabila tiba hari perlumbaan, keputusan paling rasional ialah tidak berlari kerana udara yang disedut mungkin lebih memudaratkan daripada manfaat senaman itu sendiri.
Bukan itu sahaja. Berpuluh acara outdoor termasuk sukan, konsert serta pameran terpaksa dibatalkan akibat belenggu jerebu.
Pakar ekonomi meramalkan jerebu rentas sempadan yang berlarutan menyebabkan Malaysia menanggung kerugian RM20 juta hingga RM50 juta sehari akibat gangguan ekonomi, peningkatan kos penjagaan kesihatan dan kehilangan produktiviti pekerja.
Mereka turut menambah angka kerugian ekonomi sebenar berpotensi melonjak sehingga RM600 juta hingga RM1.5 bilion sebulan dengan sektor pelancongan, penerbangan dan pertanian merupakan antara lapangan yang paling terdedah kepada kesan jerebu. Siapa mahu tanggung impak ekonomi ini?
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 10 Oktober lalu melaporkan peningkatan ketara dalam kes masalah kesihatan dan pernafasan akibat jerebu di seluruh negara. Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (URTI) dilapor bertambah sehingga kepada 3,875 kes berbanding 3,509 kes pada minggu sebelumnya.
Anak sahabat saya, Najib Rahman berusia lapan tahun, yang menghidap lelah, sudah empat kali dibawa ke klinik untuk berubat, tetapi asyik jatuh sakit.
" Inhaler yang lazim disedut tidak berkesan sebab udara terlalu kotor," katanya ketika saya menghubunginya, kelmarin.
Singapura cemas pada Rabu lalu apabila pencemaran udara di bahagian barat pulau itu mencapai tahap 'sangat tinggi' - tahap tertinggi di negara itu - menurut Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA).
Menurut agensi itu, bacaan zarah halus yang dikenali sebagai PM2.5, yang boleh memasuki paru-paru dan aliran darah, mencecah 288 mikrogram bagi setiap meter padu, jauh melebihi paras purata pendedahan tahunan yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu lima mikrogram.
Bukan sahaja ekonomi dan kesihatan, malah pendidikan turut terencat. Sekolah di seluruh negara ditutup bergantung kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di daerah masing-masing.
Di Johor, ujian Pentaksiran Tahun 4 (MPT4) dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang dijadualkan pada 12 Oktober ditangguhkan susulan penutupan sekolah. Setiap kali sekolah ditutup, ibu bapa yang paling pening, sekali gus menjejaskan produktiviti kerja mereka. Siapa mahu bertanggungjawab untuk semua kerumitan ini yang menjejaskan kualiti kehidupan di Malaysia, Singapura dan Timor Leste?
Badan pemantau alam sekitar Greenpeace Asia Tenggara dan Pantau Gambut, baru-baru ini menamakan 20 syarikat minyak sawit yang beroperasi di Indonesia sebagai penyumbang terbesar kepada jerebu serantau, sekali gus mencetuskan desakan supaya Jakarta mendedahkan identiti syarikat yang mencemarkan alam sekitar. Apa tindakan Indonesia?
Sudah tentu, jerebu bukan masalah yang boleh diselesaikan dengan menuding jari kepada seluruh rakyat Indonesia. Ramai antara mereka turut menjadi mangsa pencemaran, kehilangan sumber pendapatan dan terdedah kepada risiko kesihatan.
Persoalan sebenar bukanlah tentang rakyat negara mana yang patut dipersalahkan, tetapi siapa yang membakar, siapa yang memperoleh keuntungan dan siapa yang gagal memastikan perbuatan itu tidak berulang.
Jika keuntungan daripada pembukaan tanah dinikmati oleh segelintir pihak, tetapi kos kesihatan, ekonomi dan alam sekitar terpaksa ditanggung berjuta-juta penduduk di rantau ini, jelas ada ketidakseimbangan yang perlu diperbetulkan.
Malangnya, jerebu seolah-olah sudah menjadi 'drama tahunan.' Setiap kali langit bertukar kelabu, skrip lama kembali dimainkan. Pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan, agensi berkaitan memantau IPU, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan pakar mengingatkan tentang bahaya zarah halus terhadap kesihatan.
Semuanya kedengaran profesional, tersusun dan meyakinkan. Namun, udara yang kita sedut tidak menjadi lebih bersih hanya kerana kenyataan media disusun dengan ayat yang kemas.
Kita mempunyai teknologi satelit untuk mengesan titik panas, data untuk memantau pergerakan asap dan pelbagai mekanisme kerjasama serantau. ASEAN juga mempunyai kerangka kerjasama untuk menangani pencemaran jerebu rentas sempadan.
Namun, apabila masalah yang sama berulang, timbul persoalan sama ada segala mekanisme itu benar-benar menghasilkan pencegahan yang berkesan atau sekadar membuktikan bahawa rantau ini cukup mahir mengurus krisis selepas ia berlaku. Barangkali masalahnya bukan teknologi, tetapi sejauh mana keberanian politik diterjemahkan kepada tindakan.
Malaysia tidak boleh sekadar memainkan watak mangsa yang menunggu belas ihsan jiran. Diplomasi tetap penting, tetapi diplomasi yang hanya berakhir dengan pertemuan, kenyataan bersama dan janji untuk bekerjasama tanpa hasil yang boleh diukur akhirnya menjadi seperti penyaman udara yang tidak sejuk - berbunyi kuat, tetapi gagal menjalankan fungsi.
Kenyataan Jege mengenai Jakarta menimbulkan satu persoalan yang lebih besar: adakah sesuatu masalah hanya akan dianggap serius apabila ia mula menjejaskan pusat kuasa, golongan berpengaruh atau kepentingan ekonomi yang besar?
Isu ini tidak sepatutnya menunggu sehingga pusat kuasa turut sesak nafas. Pencegahan perlu bermula sebelum api merebak, bukan selepas asap memenuhi ruang udara. Alam sekitar tidak mengenal sempadan pentadbiran dan zarah pencemar tidak memerlukan pasport untuk memasuki negara jiran.
Mungkin sudah tiba masanya jerebu diberikan kedudukan lebih serius dalam agenda serantau - bukan sekadar isu alam sekitar yang kembali dibincangkan apabila langit menjadi kelabu, tetapi isu tadbir urus, kesihatan awam, keadilan ekonomi dan tanggungjawab bersama.
Kita tidak meminta jiran memberikan udara segera. Kita juga tidak menuntut langit biru sepanjang tahun.
Apa yang diminta hanyalah hak paling asas: bernafas tanpa perlu menanggung akibat daripada kegagalan pihak lain mengurus alam sekitar.
Jerebu bukan sekadar cerita tentang asap yang datang dari Indonesia. Ia juga kisah tentang keberanian politik yang perlu dibuktikan, penguatkuasaan yang mesti diperkasakan dan kerjasama serantau yang tidak boleh sekadar hidup dalam dokumen rasmi.
Saya hanya mahu kembali berlari di bawah langit biru Kuala Lumpur, menarik nafas panjang tanpa rasa was-was dan menikmati udara segar.
Bukankah itu permintaan yang terlalu asas untuk sebuah rantau yang bercita-cita menjadi lebih maju? Asap mungkin datang mengikut arah angin. Namun, tanggungjawab tidak sepatutnya turut terbang dibawa angin. Selagi pihak yang bertanggungjawab boleh berlindung di sebalik kabus diplomasi, rakyat akan terus menjadi pihak yang paling banyak menyedut - bukan sahaja asap, tetapi juga kekecewaan.
Terima kasih Indonesia untuk kesengsaraan kami. Tolonglah. Buang ego anda. Terimalah bantuan Malaysia dan Singapura untuk bersama-sama memadamkan api yang meratah negara anda!
Penulis adalah wartawan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd
Why it is new
- No engagement data available from these sources; score uses mention signals only
Attention graph
Timeline
- DetectedFirst detected (Harian Metro) source
Where it started
How it spread
- Step 1News outletsHarian Metro06:05
Internet reaction
No social or community posts about this yet from the platforms we ingest.
What we know
- Covered by 1 established outlet(s): Harian Metro
What we don’t know
- Independent confirmation is missing; treat specifics as unverified
- Only one source so far
All sources (1)
Attention is measured from these mentions only. Platforms shown: News. We never invent signals for platforms we do not ingest.
Follow for your feed
Follow the topic or the people and places in this story and they shape your For you page. Kept in this browser only.